KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan sindiket kilang kayu haram dan merampas pelbagai jenis kayu balak, produk kayu, jentera serta mesin yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM16.8 juta pada Isnin.Operasi Bersepadu Khazanah (Sawmill) melibatkan negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu itu juga berjaya menahan seramai 34 individu atas pelbagai kesalahan.Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi khas itu dilaksanakan kira-kira jam 11 pagi melibatkan kekuatan 12 pegawai dan 84 anggota.Menurut beliau, operasi berkenaan membabitkan Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Unit Risik Batalion 7, 8 dan 9 PGA dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, Jabatan Perhutanan Negeri serta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia."Serbuan dijalankan secara serentak ke atas 11 kilang sawmill di sekitar Pahang, Terengganu dan Kelantan."Hasilnya, lapan premis berjaya diperiksa iaitu tiga di Pahang dan lima di Kelantan, manakala tiga lagi di Terengganu tidak beroperasi ketika serbuan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Tambah beliau, pemeriksaan mendapati premis terlibat melakukan pelbagai kesalahan termasuk beroperasi tanpa lesen sah di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.Ujarnya, selain itu, PGA turut mengesan kesalahan berkaitan imigresen melibatkan pekerja asing dan kes telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah di daerah terlibat untuk tindakan lanjut.Menurut Ahmad Radzi, 34 individu yang diberkas melibatkan pelbagai kesalahan termasuk di bawah Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984, Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985 serta peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63."Dalam operasi ini, pihak berkuasa turut merampas pelbagai jenis kayu balak, produk kayu, jentera dan mesin yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM16,843,130," katanya.Beliau menegaskan, tindakan tegas akan terus diambil bagi membanteras aktiviti pembalakan dan pemprosesan kayu haram yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah menjejaskan khazanah hutan negara.