MELAKA – Sebuah gabungan politik akan hilang maknanya sekiranya dikuasai oleh satu parti tunggal sehingga menjejaskan keseimbangan kuasa dan prinsip asas penubuhannya.Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong berkata, sejarah politik Malaysia menunjukkan bahawa gabungan politik sebenar perlu dibina atas keseimbangan kuasa, kepelbagaian wakil serta perkongsian prinsip politik.Menurutnya, tanpa elemen tersebut, sesebuah gabungan hanya menjadi susunan politik sementara dan bukan gabungan yang sebenar."Pengumuman terkini berkaitan struktur kepimpinan Perikatan Nasional (PN) menonjolkan satu realiti yang semakin jelas apabila jawatan-jawatan utama kini hampir sepenuhnya dikuasai oleh Pas dengan barisan Pengerusi: Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Penerangan, Tan Sri Annuar Musa dan Bendahari, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor."Malahan, Ketua Pembangkang Parlimen juga bakal dipegang oleh ahli Parlimen Pas. Dengan kata lain, dalam kepimpinan teras PN, banyak jawatan utama kini dikuasai oleh pemimpin Pas," katanya dalam satu kenyataan.Ahli Parlimen Kota Melaka itu berkata, apabila sebuah gabungan politik semakin dikuasai oleh satu parti, hala tuju dan kuasa membuat keputusan akan tertumpu kepada parti tersebut.Ujarnya, situasi itu menyebabkan parti-parti lain dalam gabungan hanya menjadi pelengkap, sekali gus menghilangkan makna sebenar gabungan berkenaan.Justeru, katanya, rakyat perlu menilai sama ada PN masih merupakan gabungan politik berbilang parti atau telah berubah menjadi gabungan yang didominasi oleh satu parti sahaja."Jika sebuah gabungan hanya tinggal suara satu parti sahaja, jika jawatan-jawatan penting dan hala tuju politik dikawal sepenuhnya oleh satu parti, maka secara hakikat politik, gabungan itu sudah tidak wujud lagi."Jika trend ini berterusan, rakyat Malaysia akan melihat realiti yang mudah dan jelas, PN mungkin hanya tinggal nama sahaja, sedangkan realiti politiknya sudah menjadi ‘Pas Nasional’," katanya.Beliau menegaskan Malaysia sebagai negara berbilang kaum, agama dan budaya memerlukan gabungan politik yang mencerminkan kepelbagaian tersebut."Mana-mana gabungan yang ingin menjadi pilihan untuk mentadbir negara perlu mencerminkan realiti masyarakat majmuk, bukannya dikuasai oleh satu ideologi sahaja."Jika tidak, gabungan itu bukan sahaja kehilangan maksudnya, malah turut kehilangan kepercayaan rakyat," katanya.