NILAI - Polis masih menjalankan siasatan berhubung kes kecurian dan pemerasan berkaitan tong abu mayat di sebuah memorial park di sini bulan lalu.Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, kejadian itu dilaporkan pada 26 Februari lalu selepas pihak pengurusan mendapati kehilangan 30 tong abu mayat."Siasatan awal mendapati, suspek telah menghubungi pihak pengurusan melalui aplikasi WhatsApp menggunakan nombor luar negara dan mendakwa menjumpai abu mayat berkenaan."Suspek kemudiannya dikatakan membuat tuntutan bayaran sebagai syarat untuk memulangkan abu mayat tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Jelas beliau, pihak polis mengklasifikasikan kes berkenaan mengikut di Seksyen 380, 384 dan 297 Kanun Keseksaan."Siasatan sedang giat dijalankan termasuk mengenalpasti suspek serta mengesan rangkaian komunikasi yang digunakan."Kes ini membabitkan elemen komunikasi rentas negara dan penggunaan teknologi digital. Pihak polis sedang mendapatkan bantuan teknikal daripada agensi berkaitan," katanya.Justeru kata beliau, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh."Sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya.