Kerajaan teliti semula mekanisme kawalan diesel di Sabah, Sarawak

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang meneliti semula mekanisme Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di Sabah dan Sarawak, sama ada diteruskan dalam bentuk sedia ada atau distruktur semula melalui pendekatan baharu.Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri susulan maklum balas daripada jawatankuasa yang menguruskan aspek penguatkuasaan, khususnya bagi menangani isu penyeludupan bahan bakar di kedua-dua negeri berkenaan.Menurutnya, mekanisme SKDS atau pemberian subsidi diesel perlu diperhalusi agar lebih berkesan serta tidak disalahgunakan."Antara yang diberi penegasan ialah mekanisme SKDS ini mungkin perlu diteliti dengan lebih rapi, sama ada diteruskan dengan mekanisme sedia ada ataupun dirangka satu mekanisme yang berbeza," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.Beliau berkata, mesyuarat turut menyentuh pembahagian bidang tugas antara agensi penguatkuasaan bagi memperkukuh kawalan terhadap aktiviti penyeludupan.Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menguruskan penguatkuasaan di kawasan darat, manakala Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bertanggungjawab di kawasan perairan serta sungai."Bagi kawasan sempadan pula, ia akan diuruskan oleh Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang kini sedang diperincikan dalam perbincangan," katanya.Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, jawatankuasa berkenaan turut membangkitkan isu penyalahgunaan, penyelewengan serta penjualan diesel bersubsidi yang masih berlaku.Menurutnya, perkara itu sedang ditangani secara bersepadu oleh agensi terlibat bagi memastikan ketirisan dapat dikurangkan serta subsidi sampai kepada golongan sasar.