SHAH ALAM - Bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari merayu bantuan orang ramai bagi menampung kos perbicaraan kes yang sedang dihadapinya bersama isteri, Ismanira Abdul Manaf di peringkat Mahkamah Tinggi.Zaim Ikhwan berkata, sejak kes pertuduhan bermula di Mahkamah Sesyen, mereka sudah membelanjakan kira-kira RM200,000 bagi menampung kos guaman dan urusan berkaitan mahkamah."Dengan rendah hati ingin merayu dan memohon jasa baik serta keprihatinan daripada saudara mara, rakan-rakan dan orang ramai untuk membantu saya dan isteri dalam menampung kos di Mahkamah Tinggi."Kini, kami memerlukan lebih kurang RM65,000 lagi untuk menampung kos di Mahkamah Tinggi pula," katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram pada Selasa.Dalam pada itu Zaim menegaskan, segala usaha yang dilakukan adalah demi memastikan keadilan dapat ditegakkan buat arwah anaknya serta keluarga mereka."Saya merayu orang ramai untuk membantu menghulurkan sumbangan demi mendapatkan keadilan buat seluruh keluarga kami termasuk arwah Zayn Rayyan," ujarnya.Pada Januari lalu, Mahkamah Tinggi membatalkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya tahun lalu.Zaim Ikhwan kekal bebas daripada pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, tiga tahun lalu.Terdahulu pada 31 Oktober tahun lalu, Ismanira dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas mahkamah mendapati wanita itu bersalah melakukan pengabaian terhadap anak sulungnya.