JKDM bongkar taktik sindiket seludup mercun

SHAH ALAM – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membongkar lima modus operandi utama penyeludupan mercun dan bunga api pada musim perayaan.Ketua Pengarah Kastam, Datuk Amran Ahmad berkata, menjelang perayaan, kes penyeludupan serta penyimpanan mercun dan bunga api tanpa permit yang sah didapati terus meningkat bagi memenuhi permintaan pasaran.Menurutnya, antara modus operandi yang dikesan ialah pengimport yang mendapat permit membuat pengikraran barang yang tidak betul mengikut spesifikasi barangan mercun yang diimport, di mana mercun yang diimport tidak sama seperti kelulusan permit."Kedua, mercun dan bunga api yang tidak diluluskan diimport bersama mercun yang telah mendapat permit."Selain itu, mercun dan bunga api disorok dan dibawa masuk melalui pintu masuk sempadan menggunakan lori yang dicampur bersama barangan lain seperti sayur-sayuran dan buah-buahan," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.Tambah beliau, JKDM juga mengesan helah penyeludup menggunakan kenderaan melalui lorong tikus yang bersempadan dengan negara jiran.Malah, dedahnya, penyeludupan juga dikenal pasti menggunakan bot yang berlabuh di pangkalan haram atau tempat pendaratan tidak sah di sepanjang laluan denai yang bersempadan dengan negara jiran.Katanya lagi, tahun lalu, JKDM merekodkan 141 kes penyeludupan mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM22,692,963 di seluruh negara."Daripada jumlah tersebut, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM11,792,349, manakala anggaran duti dan cukai yang terlibat adalah sebanyak RM10,900,613," ujarnya.Jelas Amran, mercun dan bunga api merupakan barangan larangan import bersyarat yang memerlukan permit pengimportan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia."Terdapat syarikat yang telah diberi kelulusan permit import tetapi menyalahgunakan kelulusan tersebut dengan mengimport mercun dan bunga api yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dalam permit pengimportan."Selain itu, berlaku penyeludupan mercun dan bunga api di sempadan negara secara kecil-kecilan," ujarnya.Menurut beliau, berdasarkan kes yang direkodkan tahun lalu, setakat ini tiada bukti menunjukkan bahawa kes penyeludupan mercun mempunyai kaitan langsung dengan kegiatan jenayah lain.Beliau berkata, bagi menangani penyeludupan barangan ini, JKDM meningkatkan tahap kewaspadaan semasa proses pengimportan melalui pemantauan serta tindakan penguatkuasaan berterusan."Selain itu, penjualan mercun dan bunga api di premis jualan serta platform dalam talian turut dipantau kerana penjualan yang tidak dibenarkan boleh menjadi indikator risiko berlakunya pengimportan tanpa permit yang sah."Di samping itu, JKDM turut membangunkan profil risiko bagi membantu proses penyasaran serta pelaksanaan tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan," katanya.Tegasnya, kes penyeludupan mercun dan bunga api akan disiasat di bawah Seksyen 133 atau Seksyen 135 Akta Kastam 1967.