'Saya ada 19, anda ada 6. Fikir-fikirkan...'

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan beliau tidak berhasrat untuk kembali bekerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya hala tuju politiknya cenderung ke arah Perikatan Nasional (PN).Menurutnya, pendirian itu dibuat kerana beliau tidak mahu berpatah balik dalam perjalanan politiknya ketika ini."Saya sudah ‘reset’. Saya beritahu dia, saya ‘enemy number one’ dan dia juga ‘enemy number one’ saya. Kenapa? Sebab saya tidak mahu kembali."Saya ibarat berada di lampu isyarat sama ada mahu terus ke hadapan, ke kiri atau ke kanan. Saya tidak mahu melihat ke belakang. Jadi, lupakan sahaja mereka," katanya dalam wawancara khas bersama media tempatan di sini pada Selasa.Hamzah menjelaskan, situasi semasa dalam Bersatu turut menyaksikan banyak bahagiannya terpaksa membentuk penaja baharu, sekali gus mewujudkan keadaan yang lebih seimbang antara pihak-pihak terlibat.Katanya, jika beliau mengambil semua bahagian yang dibubarkan untuk menyertai pihaknya sebagai penaja, keadaan itu akan menyebabkan kedua-dua pihak bermula dari kedudukan yang sama."Apabila banyak bahagian Bersatu terpaksa membuat penaja baharu, jika saya mengambil semua bahagian yang dibubarkan untuk menyertai saya sebagai penaja, mereka juga perlu bermula dengan penaja."Sekarang kita berada di landasan yang sama. Mereka tidak boleh mendakwa lebih besar daripada saya dan saya juga tidak boleh mendakwa perkara yang sama," ujarnya.Beliau turut mengaitkan kekuatan sokongan dalam Parlimen sebagai antara faktor yang perlu dinilai dalam menentukan kedudukan sebenar antara kedua-dua pihak.Katanya, Bersatu sebelum ini mempunyai 31 ahli Parlimen, namun enam daripadanya telah meninggalkan parti itu, menjadikan jumlah semasa 25 orang."Daripada 25 itu, yang memberi sokongan kepada saya seramai 18 orang, campur saya menjadi 19. Jadi daripada 25, saya ada 19, mereka ada enam."Jadi, fikir-fikirkanlah," katanya.