Usahawan rugi RM9,000 kena tipu sedia 'doorgift' raya

IPOH – Hasrat seorang usahawan untuk menambah pendapatan menjelang Aidilfitri bertukar mimpi ngeri apabila mengalami kerugian hampir RM9,000 selepas menjadi mangsa penipuan membabitkan tempahan doorgift kononnya untuk program sebuah jabatan kerajaan.Mangsa, Nazlil Zita Lot Ismail, 54, berkata, kejadian bermula sekitar 10 Mac lalu apabila dia dihubungi individu tidak dikenali yang menawarkan tempahan doorgift bagi satu majlis anjuran jabatan tersebut.Menurutnya, individu berkenaan menunjukkan butiran tempahan yang lengkap termasuk senarai pegawai serta kakitangan jabatan berkenaan yang sah, kuantiti, reka bentuk dan logo untuk dicetak pada bekas sekali gus menimbulkan keyakinan bahawa urusan tersebut adalah sah."Dia tanya sama ada saya boleh sediakan doorgift dan memaklumkan tentang LO (Local Order)."Semua maklumat termasuk reka bentuk dan logo memang nampak sangat sama dengan yang asal," katanya ketika menceritakan kronologi kejadian kepada Sinar Harian pada Selasa.Nazlil Zita berkata, suspek kemudian memaklumkan terdapat permintaan tambahan pada saat akhir untuk menyediakan cenderahati ‘Keris Semenanjung’ bagi dijadikan hadiah tetamu kehormat dan memintanya mendapatkan bekalan daripada syarikat tertentu.Katanya, selepas dihubungkan dengan pembekal yang disyorkan, dia dimaklumkan harga satu set keris adalah RM280 dan bersetuju membuat bayaran deposit sebanyak 70 peratus selepas menerima invois serta resit."Saya membuat pindahan wang ke akaun syarikat tersebut sebanyak RM7,800 untuk tempahan cenderahati itu kerana semua dokumen nampak lengkap."Tak lama kemudian, individu yang mengaku sebagai ‘Tuan Firdaus’ menghubungi semula dan mengatakan jumlah tempahan bertambah," ujarnya.Bagaimanapun, katanya, selepas itu timbul rasa curiga sebelum menghubungi rakannya yang bekerja di jabatan berkenaan untuk membuat semakan.Katanya, hasil semakan mendapati nama yang dimaksudkan tidak wujud dalam senarai kakitangan, malah invois yang diberikan juga palsu walaupun menggunakan alamat sebenar jabatan berkenaan.Menurutnya, perkara itu lebih mengelirukan apabila suspek mengetahui secara terperinci mengenai penganjuran majlis berkenaan termasuk jumlah tetamu, sekali gus menimbulkan persoalan kemungkinan berlaku kebocoran maklumat.Susulan itu, Nazlil Zita membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam, namun dimaklumkan peluang untuk mendapatkan semula wang adalah tipis."Jumlah kerugian saya kira-kira RM7,800 untuk deposit keris dan RM1,200 lagi bagi penyediaan goodies seperti biskut dan kek yang sudah siap."Saya sudah berniaga lebih 20 tahun dan tidak pernah mengalami kejadian seperti ini. Saya harap orang lain lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa seperti saya," katanya.Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin mendedahkan pihaknya mengesan sindiket penipuan melibatkan tempahan kuih raya dan juadah yang menyebabkan kerugian hampir RM300,000.Jelasnya, jumlah kerugian itu melibatkan tujuh kes penipuan termasuk kes Nazlil Zita yang dilaporkan tahun ini dengan modus operandi yang sama.Sindiket terbabit menyasarkan peniaga makanan terutama pengusaha katering dan pastri dengan membuat tempahan makanan atau kuih dalam jumlah tertentu sebelum memperdaya mangsa untuk membuat bayaran kepada pihak ketiga.