KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu bakal menganjurkan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 4 April depan.Program berskala besar itu akan diadakan di Stadium Gong Badak, Kuala Nerus dengan memfokuskan kepada penyatuan negara serumpun Melayu termasuk Indonesia, Thailand dan Filipina.Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penganjuran kali ini mengangkat tema 'Satu Ummah' yang menekankan aspek penyatuan umat Islam dan orang Melayu, khususnya dalam kerangka politik."Program ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan serta pemeliharaan hak orang Melayu. Ia dilihat sebagai platform penting bagi pengukuhan kesepaduan politik Melayu di negara ini," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Majlis Berbuka Puasa YAB Menteri Besar Terengganu Bersama Media, Pempengaruh dan Anak Seni Tahun 2026 di sini pada Selasa.Mengulas lanjut mengenai pengisian program, beliau memaklumkan penganjur merancang untuk mengadakan pentas khas pada malam penutup yang akan menghimpunkan tokoh-tokoh utama daripada pelbagai parti politik Melayu."Antara yang dijemput termasuklah kepimpinan daripada Pas, UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)."Program ini bersifat inklusif dan terbuka kepada semua parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kita mahu melihat penglibatan menyeluruh dalam agenda perpaduan ini," tambahnya.Katanya, selain penglibatan politik, ijtimak itu turut menarik penyertaan antarabangsa dari negara-negara jiran seperti Brunei, Singapura, Vietnam, Thailand dan Indonesia."Tokoh pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik juga dijangka hadir bagi menghuraikan sejarah penyebaran Islam ke Alam Melayu serta kaitannya dengan perkembangan dakwah dari India."Kita juga menyasarkan kehadiran kira-kira 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari program berlangsung dengan pelbagai aktiviti kebudayaan dan warisan Melayu disediakan."Antara acara menarik yang bakal dianjurkan termasuklah pertunjukan silat, pertandingan memanah, pertandingan wau serta pameran busana tradisional Melayu," ujar beliau.Dalam pada itu, beliau berkata, pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah adalah berdasarkan dasar kerajaan negeri yang konsisten menekankan agenda penyatuan ummah, selain kedudukannya sebagai negeri dengan majoriti penduduk Melayu Islam tertinggi di Malaysia, iaitu melebihi 97 peratus.