Spekulasi sertai UMNO, Hamzah sifatkan khabar angin

KUALA LUMPUR- Dakwaan kononnya Datuk Seri Hamzah Zainudin akan menyertai UMNO disifatkan sebagai khabar angin biasa dalam landskap media yang mudah mencetuskan persepsi.Hamzah berkata, pelbagai rumusan boleh dibuat oleh sesiapa sahaja termasuk pihak yang tidak mempunyai maklumat tepat."Khabar angin tu biasa. Dalam arena media yang begitu canggih ini, orang yang buat khabar angin (mungkin) datangnya daripada sesiapa yang kita tak tahu. Bukan dia sebagai seorang yang memandu tapi datang daripada seorang penumpang, dia boleh buat."Tetapi oleh kerana ‘viral’, dah jadi trending bahawa Hamzah akan masuk UMNO tu biasalah. Jawapan yang sepatutnya kita tanya adalah dengan orang itu sendiri."Saya dah kata, saya masih lagi ada dalam kereta tapi kereta saya ni belum didaftarkan atas kumpulan mana sebagai kumpulan. Saya daftarkan atas diri saya sendiri dan belum masuk dalam kumpulan armada yang saya katakan tadi."Bila kita kata armada itu, apakah mesti saya masuk sebagai ahli UMNO ataupun saya boleh duduk berdamping dengan UMNO? Itu sesuatu yang berbeza. Jadi saya nak maklumkan tidak ada kepastian tentang itu," katanya.Tambah Hamzah, sebuah kapal yang besar kadang-kadang sudah berat dan memerlukan kapal-kapal lain untuk membantunya.Justeru katanya, dalam perjuangan, beliau boleh memberikan arahan kepada armada untuk terus menentang dalam peperangan."Saya boleh berada di mana-mana kapal, tidak semestinya berada dalam kapal asal. Itu yang saya ingin jelaskan," katanya.Menjawab soalan lanjut sama ada analogi tersebut merujuk kepada pilihan antara parti besar seperti UMNO atau Perikatan Nasional (PN), beliau bagaimanapun tidak mengesahkan perkara itu secara khusus.Menurutnya, tafsiran sedemikian bergantung kepada penilaian masing-masing, namun beliau menegaskan pendekatannya lebih kepada fleksibiliti dalam menentukan kedudukan.