KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkukuh komitmennya dalam menjaga kebajikan pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) melalui pelaksanaan inisiatif Bantuan Lestari Siswa MADANI.Inisiatif itu bertujuan membantu pelajar kurang berkemampuan menghadapi cabaran kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian selain memberi sokongan tambahan kepada peminjam PTPTN.Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan agensi itu dalam memastikan kebajikan peminjam dan pelajar sentiasa diberi perhatian, khususnya mereka yang memerlukan sokongan tambahan.Beliau berkata, bantuan itu disalurkan bagi meringankan beban kewangan pelajar selain memberi motivasi kepada mereka untuk meneruskan pengajian dengan lebih fokus."Sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini, PTPTN menganjurkan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyantuni masyarakat."Antaranya ialah Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) di IPT, Program Jom Kejut Sahur, Program Raikan Syawal Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf serta Bantuan Lestari Siswa MADANI," ujarnya.Beliau berkata demikian sempena Majlis Iftar PTPTN Bersama Media di sebuah hotel di ibu negara yang turut menyaksikan penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada pelajar dari Politeknik Nilai dan Politeknik Port Dickson.Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Khalid, bersama barisan pengurusan PTPTN.Melalui inisiatif berkenaan, PTPTN menyampaikan sumbangan berjumlah RM36,000 kepada 72 pelajar asnaf dari kedua-dua institusi terbabit, dengan setiap penerima menerima bantuan RM500 secara one-off yang akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing.Norliza berkata, bantuan itu diharap dapat membantu pelajar menguruskan keperluan harian serta menyokong kelangsungan pengajian mereka di IPT.PTPTN raikan pengamal mediaPada majlis sama, PTPTN turut meraikan pengamal media sebagai tanda penghargaan atas peranan penting mereka dalam menyampaikan maklumat berkaitan agensi itu kepada masyarakat.Menurut beliau, media memainkan peranan besar dalam membetulkan persepsi masyarakat serta mendidik orang ramai mengenai tanggungjawab membayar balik pinjaman PTPTN selain mempromosikan kepentingan perancangan kewangan melalui Simpan SSPN."Melalui laporan yang tepat, seimbang dan beretika, media membantu memastikan setiap dasar dan usaha penambahbaikan PTPTN dapat difahami dengan jelas oleh pelanggan sama ada pendeposit Simpan SSPN atau peminjam PTPTN, ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya," ujarnya.Dalam pada itu, PTPTN terus menggalakkan amalan penabungan awal bagi pendidikan melalui produk Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai manfaat kepada pendeposit.Antara keistimewaan Simpan SSPN termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful secara percuma kepada pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan serta patuh syariah.Bantuan PTPTN ringankan beban pelajarSementara itu, penerima bantuan dari Politeknik Nilai, Ahmad Akashah Shamsul Maharim, 21, yang mengikuti Diploma Logistik dan Rantaian Bekalan berkata, beliau amat berterima kasih atas bantuan yang diterima kerana ia memberi kesan positif kepada kehidupannya sebagai pelajar."Bantuan ini juga sedikit sebanyak dapat membantu kewangan saya dan meringankan beban ibu bapa," ujarnya.Seorang lagi penerima dari institusi sama, Nor Najwa Jasman, 21, yang mengikuti Diploma Kewangan Islam berkata, bantuan berkenaan memberi motivasi kepadanya untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh."Saya berterima kasih atas bantuan yang diberikan kerana ia membantu meringankan beban kewangan sebagai pelajar," ujarnya.Bagi Rabiatul Adawiyah Rabudin, 21, pelajar Diploma Sains Kesetiausahaan dari Politeknik Port Dickson pula, bantuan itu amat bermakna kerana dapat digunakan bagi membeli keperluan pembelajaran."Saya sangat bersyukur kepada PTPTN kerana bantuan ini membantu saya dari segi kewangan. Dengan duit ini saya boleh membeli keperluan untuk pembelajaran."Saya juga berharap program seperti ini dapat diteruskan kerana ia banyak membantu pelajar," tambahnya.