KKTPB bawa pelaburan tenaga boleh baharu RM400 juta untuk Perak

IPOH – Koperasi Kemajuan Tanah Perak Berhad (KKTPB) tampil sebagai antara pemacu ekonomi baharu negeri apabila berjaya membawa masuk pelaburan besar dalam sektor tenaga boleh baharu dan perlombongan dengan nilai keseluruhan mencecah RM400 juta.Kejayaan itu sekali gus melonjakkan kedudukannya sebagai 14 koperasi terbaik di Perak serta tersenarai dalam kelompok 147 koperasi terbaik di Malaysia, selain mengekalkan rekod pembayaran dividen melebihi 10 peratus kepada anggotanya sejak lapan tahun lalu.Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Datuk Mohammed Akhiar Ahmad Wazir Affandi berkata, koperasi tersebut mula memasuki sektor ladang solar sejak 2017 sebelum mengembangkan operasi ke bidang perlombongan bijih besi pada 2021.Menurutnya, keputusan berani itu dibuat berdasarkan potensi besar tenaga boleh baharu sebagai penyumbang ekonomi masa hadapan selain selari dengan hala tuju Perak yang mahu memperkukuh sektor tenaga bersih dalam usaha mencapai negeri rendah karbon menjelang 2030."Kami telah membangunkan ladang solar seluas 233 ekar dengan tenaga yang dijana dibekalkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Suruhanjaya Tenaga."Ini adalah bidang baharu yang mampu menjana pendapatan mampan kepada koperasi. Peluang sebegini bukan selalu datang dan kita harus menggalakkan lebih banyak koperasi lain meneroka sektor ini kerana potensinya amat besar," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas kunjungan hormat ke atas Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Perak, Mohd Firdaus Hussin di Pejabat SKM Perak di sini baru-baru ini.Mohammed Akhiar berkata, projek ladang solar itu melibatkan pelaburan RM380 juta bermula tahun 2017 sebelum beroperasi sepenuhnya penghujung 2018.Jelasnya, tempoh konsesi pembekalan tenaga elektrik kepada TNB itu dalam tempoh selama 21 tahun.Mengulas mengenai aktiviti perlombongan bijih besi, beliau berkata ia turut menyumbang hasil signifikan kepada negeri dan negara, khususnya melalui pelbagai pembayaran wajib yang ditunaikan oleh koperasi."Sejak 2021, kita telah menjelaskan bayaran royalti perlombongan sebanyak RM4.1 juta. Selain itu, koperasi turut membayar cukai tanah hampir RM3 juta sejak 2019 serta zakat perniagaan lebih RM100,000 setiap tahun sejak 2021."Kita ingin memastikan setiap aktiviti baharu yang dijalankan memberi manfaat bukan hanya kepada anggota tetapi juga kerajaan negeri dan masyarakat," katanya.Walaupun kini aktif dalam sektor baharu, Mohammed Akhiar menegaskan koperasi tetap meneruskan operasi tradisi seperti ladang kelapa sawit dan perniagaan runcit, sekaligus mengekalkan sumber pendapatan pelbagai.Pada majlis tersebut, Koperasi Kemajuan Tanah Perak Berhad turut menyampaikan cek Kumpulan Wang Rizab Statutori berjumlah lebih RM620,000 kepada wakil Pengurus Co-opbank Pertama Cawangan Ipoh sebagai memenuhi keperluan simpanan koperasi.Koperasi Kemajuan Tanah Perak Berhad antara contoh koperasi berdaya saing seperti dihasratkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.Ia selaras aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menekankan pembangunan hijau, ekonomi mampan serta pemerkasaan sektor koperasi.