Pembalak haram sasar lokasi hutan simpan terpencil, guna motosikal untuk akses - JPSM

SHAH ALAM - Menyasarkan lokasi hutan simpan kekal (HSK) terpencil selain menggunakan kenderaan pacuan empat roda serta motosikal bagi mengakses lokasi antara taktik pembalak haram yang dikenal pasti pihak berkuasa.Bahkan, kegiatan haram mengaut hasil hutan itu turut menggunakan khidmat warga tempatan dan asing sebagai pekerja selain kebiasaan dilakukan secara berkumpulan dan rahsia.Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Zahari Ibrahim berkata, pihaknya telah melaksanakan Op Limau pada 11 hingga 27 Februari lalu sempena musim perayaan melibatkan kerjasama strategik bersama jabatan-jabatan perhutanan negeri melalui pelaksanaan rondaan bersepadu, pemantauan berterusan serta tindakan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh.Menurutnya, sepanjang tempoh operasi berkenaan, sebanyak 1,500 rondaan, 350 pemantauan kilang, 350 pemantauan kawasan lesen dan 260 pemeriksaan di balai pemeriksaan hutan telah dilaksanakan di seluruh Semenanjung Malaysia."Hasil daripada pemantauan tersebut, sebanyak 40 kes kesalahan telah dikesan yang melibatkan pelbagai pelanggaran di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 dan Akta Industri Berasas Kayu 1984."Sepanjang Op Limau itu, sebanyak 800 tual kayu bulat pendek pelbagai spesies dan saiz, 48 tual kayu bulat panjang pelbagai spesies dan saiz serta 36 ikat kayu sisa telah dirampas selain sitaan peralatan seperti 'bandsaw' dan 'chainsaw."Nilai rampasan dianggarkan RM100,000," katanya kepada Sinar Harian.Beliau berkata, JPSM juga mendapati modifikasi modus operandi penjenayah alam sekitar yang semakin canggih seperti penggunaan laluan alternatif tersembunyi, aktiviti malam atau manipulasi sempadan geografi menjadikan tugas penguatkuasaan lebih mencabar.Tambahnya, JPSM komited untuk memastikan pengurusan hutan dilaksanakan secara lestari berteraskan prinsip keseimbangan antara pemeliharaan alam sekitar, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat."Komitmen ini turut diperkukuh melalui usaha pemuliharaan biodiversiti, penguatkuasaan undang-undang hutan serta kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan demi menjamin kelestarian khazanah hutan," ujarnya.Jelasnya, JPSM menyeru agar masyarakat turut menjadi mata dan telinga Jabatan dengan menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan hutan atau isu integriti melalui talian aduan rasmi jabatan."Jabatan ingin menegaskan bahawa kelestarian hutan bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau jabatan semata-mata, tetapi tanggungjawab kita bersama," ujarnya.Februari lalu, Sinar Harian melaporkan pelaksanaan Op Limau 2026 merupakan langkah proaktif susulan peningkatan permintaan terhadap hasil hutan, khususnya kayu balak dan produk berasaskan kayu yang lazimnya berlaku menjelang musim perayaan.Ia sebagai langkah membendung aktiviti pembalakan haram serta penyeludupan hasil hutan sepanjang musim perayaan.