Sindiket jam tangan tiruan jual kepada pelanggan 'terpilih' tumpas

KUALA LUMPUR – Menjual hanya kepada pelanggan tertentu sahaja demi mengaburi mata pihak berkuasa antara taktik yang dibongkar menerusi serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ke atas sebuah premis di sekitar ibu negara pada Jumaat lalu.Serbuan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya itu mendedahkan kegiatan penyimpanan dan penjualan jam tangan berjenama yang disyaki tiruan dijalankan secara tertutup di premis dua tingkat terbabit.Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi tersebut dilaksanakan hasil risikan hampir sebulan dengan kerjasama wakil pemilik cap dagang.Menurutnya, pemeriksaan mendapati premis berkenaan dijadikan lokasi penyimpanan dan penjualan pelbagai jam tangan berjenama tiruan."Premis dikawal rapi dengan pintu kaca berkunci yang hanya boleh dibuka menggunakan alat kawalan jauh dari dalam selain dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV)."Aktiviti penjualan pula dipercayai hanya dilakukan kepada pelanggan tertentu sahaja bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Beliau berkata, hasil serbuan itu, sebanyak 790 unit jam tangan pelbagai jenama terkenal yang disyaki tiruan berjaya disita."Turut disita pelbagai kotak dan beg kertas berjenama serta beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyimpanan dan penjualan produk tersebut."Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM790,600," katanya.Azman berkata, siasatan awal mendapati kegiatan tersebut dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang bertindak sebagai pengurus premis."Suspek dipercayai bertanggungjawab terhadap keseluruhan operasi termasuk pengurusan premis, stok barangan dan aktiviti penjualan."Jam tangan tiruan diperoleh daripada pembekal luar negara sebelum diedarkan kepada pelanggan," katanya.Beliau berkata, suspek turut menjalankan kegiatan tersebut secara terselindung dengan menjadikan bahagian bawah premis sebagai bengkel pembaikan dan servis jam tangan."Manakala tingkat atas dijadikan tempat penjualan dan penyimpanan jam tangan tiruan bagi melindungi aktiviti sebenar," katanya.Menurutnya, suspek telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut."Kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] kerana disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran pemilik yang sah," katanya.Dalam pada itu, Azman menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penjualan atau pengedaran barangan tiruan."Perbuatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menjejaskan hak pemilik cap dagangan serta kepentingan pengguna."Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penjualan barangan tiruan atau pelanggaran hak harta intelek diminta menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan, talian 1-800-886-800 dan aplikasi Ez ADU KPDN," katanya.