Malaysia perlu pemimpin berani pertahan kedaulatan negara – Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu pemimpin yang berani mempertahankan kedaulatan negara dan tidak tunduk kepada tekanan kuasa luar.Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, kepimpinan berprinsip dan berintegriti menjadi benteng utama dalam memastikan negara tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak."Putra berpegang teguh bahawa Malaysia mesti dipimpin oleh pemimpin yang berani mempertahankan kedaulatan negara, tidak tunduk kepada tekanan kuasa luar, dan tidak menjual prinsip demi kepentingan politik sempit," katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri pada Selasa.Menurut beliau, menjelang 1 Syawal, pihaknya bersama kepimpinan parti serta keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di negara ini.Katanya, Aidilfitri merupakan hari kemenangan selepas umat Islam melalui Ramadan yang mendidik jiwa dengan kesabaran, disiplin dan keinsafan."Ini adalah masa untuk kembali kepada fitrah yang bersih serta memperkukuh nilai-nilai murni dalam kehidupan," ujarnya.Dalam pada itu, beliau mengingatkan umat Islam supaya tidak leka dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri sehingga mengabaikan realiti yang berlaku dalam dunia Islam.Menurutnya, banyak negara umat Islam menjadi lemah bukan disebabkan kekurangan sumber, sebaliknya berpunca daripada kepimpinan yang tidak bermoral, tidak berintegriti dan tidak mempunyai prinsip yang jelas."Kepimpinan yang rosak menyebabkan sesebuah negara mudah menjadi alat kepada kuasa luar," katanya.Beliau turut mendakwa terdapat negara Islam yang akhirnya tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat dan sekutu Zionis Israel sehingga dasar negara tidak lagi mencerminkan kepentingan rakyat sendiri."Lebih membimbangkan apabila ada pemimpin sanggup menggadaikan maruah negara demi kepentingan politik dan kedudukan peribadi."Negara yang kaya dengan hasil bumi dan kekuatan ekonomi boleh menjadi lemah dari segi kedaulatan jika dipimpin oleh individu yang tidak berani mempertahankan prinsip," jelasnya.Sehubungan itu, beliau menegaskan sejarah telah membuktikan bahawa rakyat akan menjadi mangsa apabila negara dipimpin oleh individu yang tidak berintegriti dan mudah tunduk kepada kuasa asing."Kedaulatan negara akan terhakis sedikit demi sedikit sehingga maruah bangsa terancam," katanya.Mengulas lanjut, beliau berkata, umat Islam perlu sedar bahawa kepimpinan yang amanah, bermoral dan berprinsip adalah elemen paling penting dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara."Tanpa kepimpinan yang bersih dan berani, kemerdekaan hanya tinggal pada nama," ujarnya.Dalam masa sama, beliau menyifatkan Aidilfitri sebagai peringatan bahawa umat Islam tidak akan dihormati sekiranya pemimpin mereka sendiri tunduk kepada kuasa yang menindas.Beliau turut merakamkan penghormatan kepada rakyat dan kepimpinan Iran yang disifatkan tegas menentang tekanan kuasa besar walaupun berdepan pelbagai cabaran.Selain itu, beliau tidak melupakan penderitaan rakyat Palestin yang menurutnya terus dizalimi sejak sekian lama."Semoga umat Palestin diberikan kekuatan dan suatu hari nanti bumi Baitulmaqdis dibebaskan daripada penjajahan," katanya.Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa negara yang dipimpin oleh pemimpin tanpa maruah akhirnya akan kehilangan kedaulatan.