MUAR - Serbuan kes khalwat oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah hotel di daerah ini membawa kepada penahanan seorang lelaki bagi membantu siasatan kerana disyaki merogol gadis bawah umur berusia 14 tahun pada Sabtu lalu.Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan selepas tular di aplikasi Instagram berkaitan operasi tersebut.Katanya, operasi yang dijalankan kira-kira jam 8.30 pagi pada 14 Mac itu dilakukan hasil maklumat awam berhubung aktiviti mencurigakan di sebuah hotel di daerah ini."Hasil serbuan mendapati seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an bersama seorang gadis dipercayai berumur sekitar 14 tahun berada dalam sebuah bilik hotel dalam keadaan mencurigakan."Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua individu tersebut bukan pasangan suami isteri dan tidak mempunyai hubungan mahram sebelum ditahan oleh pihak JAINJ untuk siasatan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor berkaitan kesalahan khalwat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Beliau berkata, siasatan awal seterusnya mengesahkan gadis terbabit merupakan seorang kanak-kanak bawah umur."Susulan itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan berkaitan jenayah rogol dan menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan."Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.Dalam pada itu, beliau menegaskan polis memandang serius kes berkenaan dan menyeru masyarakat supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta nilai moral dan agama."Kerjasama orang ramai amat diperlukan dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membanteras aktiviti tidak bermoral dan salah laku seksual," katanya.