BENTONG - Genting Malaysia Berhad terus memperkukuh komitmen terhadap kesejahteraan komuniti setempat apabila menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada golongan asnaf dan B40 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.Inisiatif di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Genting Bersama Malaysia itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Bentong dan berlangsung di perkarangan majlis berkenaan pada Selasa.Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Rose Samsul Abdul Razak yang hadir sebagai tetamu kehormat.Hampir 100 penerima daripada komuniti asnaf dan B40 sekitar daerah Bentong menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan asas bagi membantu meringankan beban kos sara hidup, khususnya dalam membuat persiapan menjelang Aidilfitri.Menurut Genting Malaysia, program itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperluas impak kebajikan kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi Genting Bersama Malaysia yang menekankan nilai inklusiviti, kebersamaan dan keprihatinan sosial.Naib Presiden Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Genting Malaysia, Spencer Lee berkata, pihaknya percaya tanggungjawab korporat bukan sekadar memberi sumbangan, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan untuk bersama komuniti ketika mereka memerlukan sokongan."Di bawah aspirasi Genting Bersama Malaysia, kami sentiasa berusaha untuk memastikan kehadiran kami memberi manfaat kepada komuniti, khususnya golongan yang memerlukan," katanya.Sementara itu, Rose Samsul turut merakamkan penghargaan terhadap usaha berterusan Genting Malaysia dalam membantu komuniti setempat, khususnya di Bentong.Beliau berkata, kerjasama erat antara sektor korporat dan pihak berkuasa tempatan amat penting dalam memastikan bantuan dapat disalurkan secara berkesan kepada kumpulan sasar."Usaha seperti ini bukan sahaja membantu meringankan beban golongan memerlukan, malah memperkukuh jaringan sokongan sosial dalam masyarakat, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh makna," ujarnya.Dalam pada itu, Genting Malaysia memaklumkan akan terus memperluaskan pelaksanaan program kebajikan dan pembangunan komuniti di seluruh negara melalui inisiatif bersasar dan berimpak tinggi.Melalui Genting Bersama Malaysia, syarikat itu komited memainkan peranan aktif dalam menyumbang kepada kesejahteraan rakyat di samping memperkukuh hubungan antara sektor swasta dan komuniti setempat.