SHAH ALAM – Lebih 11,000 petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersiap siaga 24 jam bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil dan berterusan sepanjang sambutan Aidilfitri tahun ini.Ketua Pegawai Kanan Rangkaian TNB, Ir Mahathir Nor Ismail berkata, pelan kesiapsiagaan operasi telah digerakkan termasuk melaksanakan beberapa projek menaiktaraf sistem rangkaian bekalan elektrik, memantau sistem rangkaian dan aset kritikalnya secara berterusan.Menurutnya, pasukan teknikal turut bersedia mengambil tindakan segera bagi memulihkan bekalan sekiranya berlaku gangguan sepanjang musim perayaan."Komitmen ini penting bagi memastikan rakyat dapat membuat persediaan dan seterusnya menyambut Aidilfitri dengan penuh ceria lagi selesa bersama keluarga tersayang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Bagi memperkukuh sokongan operasi, petugas CareLine turut ditempatkan secara giliran bagi mengendalikan talian perkhidmatan pelanggan dan platform media sosial setiap hari.Menurut Mahathir, sebanyak 136 janakuasa bergerak turut ditempatkan di lokasi strategik."TNB juga menyediakan 379 kenderaan sokongan termasuk kren auger, 'tower wagon', 'skylift' dan lori penyelenggaraan disediakan sebagai langkah kontingensi jika berlaku gangguan bekalan elektrik."TNB turut melaksanakan tindakan mengimbangi beban, meningkatkan kapasiti transformer serta penambahbaikan rangkaian bagi memastikan sistem pengagihan elektrik kekal stabil sepanjang Aidilfitri," katanya lagi.Mahathir turut menasihati pengguna agar mengutamakan keselamatan elektrik dan mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap."Antara langkah yang boleh diambil adalah mematikan suis utama dan cabut palam peralatan elektrik yang tidak digunakan sebelum pulang ke kampung, memastikan semua peralatan elektrik berada dalam keadaan baik sebelum digunakan dan Tidak memasang terlalu banyak peralatan elektrik pada satu soket."TNB juga menggalakkan penggunaan cahaya semula jadi pada waktu siang, tidak menggunakan banyak peralatan elektrik berkuasa tinggi secara serentak dan memastikan peti sejuk tidak diisi terlalu penuh dengan juadah atau makanan agar ia dapat berfungsi dengan lebih optimum," katanya.Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, sila hubungi TNB melalui saluran Facebook: TNB CareLine; X: @Tenaga_Nasional; e-mel: CareLine@myTNB.my; atau talian TNB CareLine: 1-300-88-5454.END