GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang memberi tumpuan kepada kawasan kerap berlaku kemalangan dan kesesakan lalu lintas (blackspot dan hotspot) sepanjang pelaksanaan Op Selamat 26 sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 yang bermula 19 hingga 24 Mac ini.Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, operasi selama enam hari itu dilaksanakan dengan konsep ‘pre-emptive services and total enforcement’ yang menekankan tindakan awal serta langkah pencegahan proaktif bagi menangani kesesakan dan kemalangan jalan raya.Menurutnya, selaras dengan tema Kongsi Perjalanan, Kongsi Keselesaan dan Keselamatan Diutamakan, objektif utama operasi adalah memastikan keselamatan pengguna jalan raya selain mengurangkan kadar kemalangan serta kesesakan melalui tindakan penyuraian trafik di laluan utama di negeri ini."Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan memberi tumpuan kepada kawasan yang kerap berlaku kemalangan serta lokasi sering mengalami kesesakan termasuk di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS)."Selain itu, fokus turut diberikan kepada daerah yang menyumbang jumlah kemalangan maut tertinggi serta kawasan dikenal pasti sebagai lokasi kesesakan," katanya ketika ditemui pada program Op Selamat 26 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 Peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Juru di sini pada Rabu.Beliau berkata, sebanyak 1.5 juta kenderaan dijangka memasuki dan melalui Pulau Pinang dalam tempoh enam hari sempena musim perayaan tahun ini.Menurutnya, angka tersebut menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya apabila sebanyak 1.35 juta kenderaan direkodkan pada tahun lalu manakala pada tahun 2024 pula mencatatkan 1.2 juta kenderaan."Unjuran berkenaan dibuat berdasarkan trend peningkatan pergerakan trafik setiap tahun khususnya menjelang musim perayaan."Untuk tahun ini, kita menjangkakan kira-kira 1.5 juta kenderaan akan masuk dan melalui Pulau Pinang melibatkan tempoh enam hari bermula 19 hingga 24 April," ujarnya lagi.Mengulas lanjut, antara laluan dikenal pasti sebagai kawasan berkepadatan tinggi dan ‘blackspot’ kemalangan ialah Jalan Teluk Air Tawar-Jalan Bagan Luar, Jalan Perusahaan Perai-Jalan Kulim, Jalan Besar Simpang Empat (KM12–KM32), Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu/Jalan Ayer Itam, Jalan Ayer Itam – Paya Terubong, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Dr Awang serta Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth.Dalam pada itu, Azizee menambah, seramai 330 pegawai dan anggota JSPT Kontinjen Pulau Pinang akan terlibat secara langsung dalam operasi tersebut.Katanya, JSPT turut bekerjasama dengan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) serta agensi lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS)."Sepanjang operasi ini, tindakan penguatkuasaan serta-merta akan diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas LN 166/59 terhadap enam kesalahan utama."Ia melibatkan memandu melebihi had laju, menggunakan alat komunikasi semasa memandu, memandu di lorong kecemasan, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong barisan dan memotong di garisan berkembar," ujarnya.Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan dengan mematuhi peraturan lalu lintas, memandu secara berhemah serta tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah."Pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan selain merancang perjalanan lebih awal dan peka terhadap keadaan persekitaran termasuk cuaca serta maklumat aliran trafik," katanya.Dalam perkembangan sama, beliau menambah, orang ramai yang meninggalkan kediaman semasa pulang berhari raya diingatkan supaya memastikan rumah dikunci dengan sempurna serta memasang lampu atau sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelakkan jenayah."Mereka juga digalakkan memaklumkan kepada balai polis berhampiran atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membolehkan rondaan dan pemantauan dijalankan secara berkala," katanya.