'Rafizi liabiliti persepsi politik, suka cari perhatian' - Dzul Hilmi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli kini dilihat sebagai liabiliti dari sudut persepsi politik dan kepimpinan negara, meskipun niatnya mungkin untuk menampilkan pendirian neutral.Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Dzul Hilmi Zainol berkata, meskipun menghormati pandangan Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), Profesor Dr Tajuddin Rasdi, pendekatan Ahli Parlimen Pandan itu yang cenderung mengkritik secara terbuka termasuk terhadap rakan dalam kerajaan perlu dinilai secara lebih menyeluruh.Menurutnya, persoalan utama bukan lagi mengenai siapa yang betul atau salah, sebaliknya sama ada pendekatan tersebut membantu atau melemahkan Pakatan Harapan (PH)."Dalam suasana politik hari ini, kestabilan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan amat penting. Kritikan terbuka terhadap pimpinan sendiri termasuk Perdana Menteri boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan penyokong," katanya dalam satu kenyataan.Beliau menegaskan bahawa politik bukan sekadar keberanian bersuara, tetapi turut melibatkan strategi serta pemilihan masa yang tepat dalam menyampaikan pandangan.Katanya, pendedahan isu dalaman secara terbuka tanpa kawalan hanya akan memberi ruang kepada pihak lawan seperti Pas dan Bersatu untuk memanipulasi naratif bagi melemahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.Dalam pada itu, beliau secara peribadi berpendapat Rafizi turut dilihat sebagai individu yang gemar mencari perhatian dengan menampilkan diri sebagai tokoh yang berani mengkritik kerajaan."Sedangkan ketika memegang jawatan menteri sebelum ini, beliau dilihat kurang lantang dalam isu dasar kerajaan," ujarnya.Dzul Hilmi turut menekankan kepentingan disiplin dalam kerajaan serta kesatuan dalam menyampaikan mesej kepada rakyat, lebih-lebih lagi ketika negara berdepan cabaran global.Menurutnya, Malaysia ketika ini masih mampu mengekalkan kestabilan ekonomi dan memastikan bekalan serta subsidi menjelang Aidilfitri tidak terjejas, berbanding beberapa negara lain yang berdepan konflik."Kita tidak boleh memasuki Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dalam keadaan berpecah dari segi naratif. Rakyat tidak menilai siapa yang paling lantang, tetapi siapa yang mampu menjamin kestabilan dan meyakinkan untuk mentadbir negara," katanya.Tambah beliau, sikap terlalu yakin dengan pandangan sendiri sehingga menimbulkan perbalahan dalaman boleh memberi kesan buruk kepada parti dan mencetuskan perpecahan yang lebih serius.Sehubungan itu, beliau berpandangan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu wajar menghargai peluang yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perjalanan politiknya."Pendekatan yang lebih berhemah dan kesedaran diri penting bagi memastikan perpaduan dalam parti terus terpelihara demi kestabilan kerajaan," katanya.