KUALA LUMPUR - Sindiket yang menyasarkan kenderaan 'total loss' selain hasil kegiatan curi untuk dijual semula sebagai kenderaan klon dengan geran lengkap dibongkar Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.Tindakan itu dilaksanakan Bahagian D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerusi Op Lejang Mewah Klon di seluruh negara pada 12 hingga 15 Mac lalu.Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, operasi hasil risikan selama lima bulan itu berjaya memberkas 12 individu termasuk dua wanita berusia lingkungan 33 hingga 60 tahun.Menurutnya, tangkapan itu dipercayai berperanan sebagai pembeli, orang tengah dan pemilik syarikat kenderaan terpakai."Salah seorang suspek mempunyai rekod dikehendaki oleh Polis Singapura (SPF) bagi kes curi kenderaan di negara itu."Suspek yang juga pemilik syarikat kereta sewa ini telah diserahkan kepada pihak SPF pada 16 Mac lalu bagi tindakan lanjut," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Rabu.Beliau berkata, menerusi operasi terbabit, JSJ berjaya merampas 12 kenderaan dianggarkan bernilai RM1.1 juta membabitkan tiga Toyota Vellfire, Toyota Estima (2 buah), Toyota Altis (2 buah), Toyota Harrier (1 buah), Mazda 3 (1 buah), Honda City (1 buah), Honda City Hatchback (1 buah) dan Toyota Camry (1 buah).Katanya, siasatan mendapati empat kenderaan itu dipercayai dicuri di Singapura sebelum diseludup masuk ke Malaysia.Tambah Kumar, pemeriksaan forensik ke atas lapan kenderaan lagi mendapati ia telah diubah suai pada nombor casis dan enjin."Dua nombor casis berjaya ditimbulkan semula dan salah satu daripadanya disahkan sebagai kenderaan yang dilaporkan hilang melalui laporan polis di Genting Highlands," ujarnya.Menurut beliau, selain itu, lapan daripada 12 kenderaan terbabit juga mempunyai sijil pemilikan kenderaan (geran) yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)."Polis percaya kegiatan promosi kenderaan klon ini dibuat secara 'mulut ke mulut' dan menggunakan orang tengah serta penjual kenderaan berlesen sebelum dijual pada harga 50 hingga 60 peratus lebih rendah daripada harga pasaran," ujarnya.Tegasnya, JSJ akan bekerjasama dengan JPJ serta Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk siasatan lanjut selain mengenal pasti identiti sindiket."Orang ramai diminta membuat semakan harga dan proses jual beli kenderaan sebelum membeli. Jika harga rendah, perlu ada rasa waswas."Pemilik kenderaan 'total loss' diminta untuk membuat pemakluman kepada JPJ agar ia mempunyai rekod dalam sistem jabatan itu," ujarnya.Tambahnya lagi, PDRM memberi jaminan proses siasatan masih berjalan untuk mengesan ahli sindiket lain yang disyaki beroperasi di Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor.Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.