42 lokasi sesak, 67 kerap kemalangan dikenal pasti di Kelantan

KOTA BHARU – Sebanyak 42 kawasan kesesakan utama (hotspot) dan 67 lokasi kerap kemalangan (blackspot) di seluruh Kelantan dikenal pasti oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai kawasan berisiko tinggi kemalangan sempena pelaksanaan Op Selamat 26/2026 bermula Khamis hingga Selasa ini.Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusuff Mamat berkata, langkah itu merupakan antara fokus utama bagi memastikan kelancaran aliran trafik serta mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan Aidilfitri.Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan lokasi berisiko itu, lapan kawasan utama dikenal pasti sebagai laluan kritikal yang akan diberi tumpuan khas, melibatkan daerah Kota Bharu, Kuala Krai, Pasir Mas, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah dan Gua Musang."Penempatan anggota trafik akan dipertingkatkan di kawasan hot spot dan black spot bagi mengawal serta melancarkan pergerakan kenderaan."Khususnya ketika peningkatan jumlah kenderaan menjelang perayaan," katanya pada majlis pelancaran Op Selamat 26 di Tunjong di sini pada Rabu.Beliau berkata, seramai 20 pegawai dan 150 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan digerakkan sepanjang operasi itu bagi memperkukuh pemantauan di lapangan.Dalam masa sama, PDRM turut menubuhkan Skuad Jem dan melaksanakan Op Lancar bermula 18 hingga 29 Mac bagi memastikan aliran trafik sentiasa terkawal selain pengoperasian bilik gerakan selama 24 jam untuk pemantauan berterusan.Sementara itu, Kelantan merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi bagi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) di seluruh negara dengan lebih 60,000 pengguna setakat ini, hasil kempen berterusan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai dalam pencegahan jenayah dan pemantauan keselamatan kawasan kediaman.Mengulas lanjut, beliau berkata, penguatkuasaan akan memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu."Semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memandu secara berhemah, bersabar dan mematuhi peraturan bagi memastikan keselamatan diri serta pengguna lain," katanya.Dalam perkembangan sama, statistik Op Selamat sebelum ini menunjukkan penurunan ketara apabila jumlah kemalangan berkurang daripada 534 kes pada tahun 2024 kepada 495 kes pada 2025, manakala kemalangan maut menurun daripada tujuh kes kepada satu kes.Beliau berkata, kejayaan itu hasil kerjasama berterusan antara agensi penguat kuasa dan pengguna jalan raya yang semakin peka terhadap aspek keselamatan."Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama."Pandulah dengan cermat dan ingatlah insan tersayang menanti kepulangan anda," katanya.