KOTA KINABALU - Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan melakukan penstrukturan semula bagi mengukuhkan parti itu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangka berlangsung tahun hadapan.Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkara itu telah dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi parti dan mendapat persetujuan sebagai langkah memperkemas serta memperkukuh peranan parti dalam kerajaan negeri.Menurutnya, penstrukturan semula itu dilihat penting bagi memastikan Gagasan Rakyat terus kekal relevan dan berfungsi dengan lebih tersusun dalam mendepani cabaran politik semasa."Pihak Majlis Tertinggi memang ada membincangkan perkara berkaitan dan kita bersetuju untuk menyusun semula struktur Parti Gagasan Rakyat Sabah dengan tujuan memperkemaskan serta mengukuhkan parti ini sebagai tunjang kepada kerajaan perpaduan di Sabah."Mudah-mudahan dengan persetujuan ini akan memberi banyak kebaikan dalam perjuangan Gagasan Rakyat untuk membela rakyat."Ini adalah 'way forward' untuk parti dan akan memudahkan pelaksanaan aktiviti di peringkat parti, sekali gus menjadi pelengkap kepada kerajaan yang memerintah pada hari ini," katanya kepada pemberita semas majlis berbuka puasa bersama media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Selasa.Mengulas lanjut, beliau menjelaskan antara cadangan utama dalam penstrukturan itu adalah mengembalikan pembahagian organisasi kepada peringkat Parlimen berbanding Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini."Mungkin kita akan kembali kepada bahagian parlimen. Kalau dulu kita mengikut Bahagian DUN, kali ini kita akan kembali mengikut Bahagian Parlimen yang akan mengandungi beberapa kawasan DUN."Jadi ada 26 bahagian parlimen termasuk Labuan," katanya.Dalam pada itu, Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas turut memaklumkan bahawa pihak penerangan parti telah merangka pelbagai program sebagai persediaan menghadapi PRU akan datang, termasuk memperkasa jentera komunikasi parti."Antara perancangan kita ialah mengadakan kursus kecerdasan buatan (AI) kepada semua jentera penerangan di seluruh Sabah. Selain itu, kita juga akan menganjurkan pertandingan pidato di semua bahagian bagi mencungkil bakat-bakat baharu yang mampu menyampaikan hala tuju parti dan kerajaan dengan lebih berkesan."Kita juga yakin pucuk pimpinan akan mengambil kira penglibatan golongan muda, dan berkemungkinan lebih ramai pemimpin muda akan diketengahkan. Ini kerana pada pilihan raya lalu, ramai muka baharu menunjukkan prestasi baik dan mendapat sokongan rakyat," jelasnya.Ditanya berhubung siapa rakan kerjasama politik menjelang PRU akan datang, beliau menegaskan bahawa keutamaan Gagasan Rakyat ketika ini adalah untuk mempertahankan kerajaan perpaduan sedia ada di Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.Beliau turut mengakui terdapat cabaran dalam kerjasama politik sebelum ini, namun menegaskan tanggungjawab parti ketika ini adalah memastikan kestabilan kerajaan negeri terus terpelihara demi kepentingan rakya