KUALA LUMPUR – Syarikat minuman multinasional,Coca-Cola menyemarakkan semangat Ramadan tahun ini dengan memberi tumpuan kepada usaha menyantuni golongan memerlukan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.Pengarah Hal Ehwal Awam, Komunikasi dan Kelestarian (PACS) Coca-Cola bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Khairul Anwar Ab Ghani berkata, syarikat itu melaksanakan beberapa program komuniti sepanjang bulan Ramadan termasuk pengagihan makanan kepada golongan asnaf serta mereka yang memerlukan.Menurutnya, inisiatif tersebut dijalankan melalui kerjasama strategik dengan Yayasan Ikhlas."Kami juga bekerjasama dengan Yayasan Basmi Kemiskinan untuk menyediakan bakul makanan kepada golongan asnaf di Hulu Langat."Selain itu, kami turut menjalinkan kerjasama dengan Lotus's bagi menyediakan bakul makanan serta program iftar kepada pekerja gig, khususnya penghantar makanan," katanya kepada Sinar Harian pada Program Iftar Komuniti 2026 yang berlangsung di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad di sini pada Ahad.Beliau berkata, inisiatif berkenaan selari dengan komitmen Coca-Cola yang bukan sahaja menawarkan produk minuman kepada pengguna, malah berusaha membawa perubahan positif kepada masyarakat."Coca-Cola bukan hanya mengenai produk kami, tetapi juga tentang bagaimana kami boleh memberi perubahan positif kepada komuniti tempat kami beroperasi."Kami akan menggunakan setiap peluang yang ada untuk bersama-sama dengan dengan masyarakat dalam membawa impak positif kepada komuniti di Malaysia," ujarnya.Dalam pada itu, beliau berkata, pemilihan masjid sebagai lokasi program iftar komuniti juga mempunyai nilai tersendiri kerana institusi berkenaan yang bukan sekadar tempat ibadah, malah berfungsi sebagai pusat komuniti."Masjid bukan sahaja tempat untuk menunaikan solat, tetapi juga pusat komuniti di mana masyarakat berkumpul dan mengeratkan silaturahim."Kami melihat penganjuran program iftar di masjid sebagai peluang untuk bersama-sama masyarakat dan memberi nilai tambah khususnya dalam bulan Ramadan," katanya.Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada Sinar Harian atas kerjasama dalam menjayakan program berkenaan yang menurutnya bukan sekadar menyediakan juadah berbuka puasa, tetapi juga memupuk semangat kebersamaan.Lebih 2,000 orang hadir berbuka puasaDalam pada itu, lebih 2,000 orang dari serata Kuala Lumpur hadir pada program berkenaan yang memberi manfaat kepada komuniti Islam, selain menghayati makna sebenar bulan Ramadan untuk saling berkongsi dan membantu antara satu sama lain.Ketua Eksekutif Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Mohd Hariz Jamil berkata, pada hari bekerja, pihaknya menjangkakan kehadiran antara 1,000 hingga 1,300 jemaah, manakala pada hujung minggu angka itu meningkat kepada hampir 2,500 orang."Alhamdulillah, dengan adanya program seperti ini, tajaan makanan daripada Coca-Cola Malaysia, Fanta dan bantuan Sinar Harian, hampir 2,600 pek makanan berjaya disediakan untuk seluruh jemaah yang hadir."Jumlah ini melebihi kapasiti biasa iaitu sekitar 1,500 hingga 1,600 pek sahaja, sekali gus memastikan semua yang hadir dapat menikmati juadah iftar," katanya.Beliau menjelaskan, pihak masjid membuka pendaftaran awal bagi sukarelawan dan pelajar yang berminat membantu program iftar, seawal sebulan sebelum Ramadan.Ujarnya, sambutan sangat menggalakkan daripada pelajar universiti, pelajar sekolah, komuniti tempatan serta staf masjid yang turun padang membantu persiapan iftar."Setiap hari, kami menyediakan lebih 20 hingga 30 sukarelawan tambahan bagi memastikan kelancaran program. Jawatankuasa Masjid Jamek turut aktif turun padang membantu persiapan Ramadan, termasuk mengajak seluruh warga Kuala Lumpur untuk berbuka puasa di masjid."Tahun ini menandakan tahun kedua Coca-Cola Malaysia bekerjasama dengan pihak masjid untuk menyediakan juadah berbuka puasa untuk orang ramai. Inisiatif ini juga bertujuan memupuk semangat kasih sayang dan perpaduan dalam masyarakat" tambah beliau.Katanya, juadah yang disediakan berbeza setiap hari dengan tumpuan diberikan kepada makanan tempatandan tradisi masyarakat Melayu selain memastikan makanan mencukupi dan lebihan makanan diagihkan untuk moreh."Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada warga tempatan, malah turut diraikan tetamu antarabangsa dari pelbagai negara seperti Perancis, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Itali dan Sepanyol," katanya.Beliau juga mengingatkan sejarah Masjid Jamek yang dibina sejak 1909, diberikan Tanah Kurnia oleh Selangor pada 1974 dan kini menjadi pusat komuniti penting di Kuala Lumpur.Menurutnya, masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi pusat pertemuan yang menyatukan rakyat pelbagai latar belakang sepanjang bulan Ramadan.