Sinergi PPZ-MAIWP, pembayar zakat dan rakan strategik santuni asnaf

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) terus mempergiat usaha menyantuni golongan asnaf menerusi pelaksanaan Program Turun Padang sepanjang Ramadan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.Inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik seperti Ikhlas.com, Restoran Mohd Chan dan Mokkyspizza, merangkumi agihan makanan, sumbangan keperluan asas, pakaian raya serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan.Antara program dijalankan termasuk Ziarah Ramadan Makeover Rumah Asnaf bersama Ikhlas.com, sumbangan kepada tiga keluarga asnaf serta majlis berbuka puasa bersama anak yatim dengan Restoran Mohd Chan.Selain itu, sumbangan juadah iftar dan Gerobok Rezeki turut disalurkan kepada pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), manakala Mokkyspizza menyumbang makanan dan pakaian raya kepada anak-anak yatim Pertubuhan Baitul Ehsan Al-Khairi.Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, kerjasama bersama rakan strategik membolehkan bantuan disampaikan secara lebih berfokus dan menyeluruh.Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sahaja membantu memenuhi keperluan asas, malah menyemai semangat kebersamaan serta kepedulian sosial dalam kalangan masyarakat."Melalui program-program ini, kita bukan sahaja membantu dari segi keperluan harian, tetapi juga menyemai semangat kebersamaan dan kepedulian dalam masyarakat sepanjang Ramadan," katanya.Tambah beliau, PPZ-MAIWP komited meneruskan program turun padang pada masa akan datang dengan sokongan berterusan rakan strategik bagi memastikan bantuan zakat sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan PPZ-MAIWP dalam memastikan bantuan zakat dapat disampaikan secara lebih dekat, berfokus dan menyeluruh kepada golongan benar-benar memerlukan selaras dengan usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan.