SHAH ALAM – Sebanyak 500 pek makanan diagihkan kepada tiga agensi utama iaitu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta petugas Hospital Shah Alam (HSAS).Program kebajikan Roll Out Iftar PKPS 2026 tajaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama Sinar Harian itu bertujuan berkongsi rezeki dan menghargai jasa petugas barisan hadapan.Ketua Pegawai Operasi PKPS Ehsan Marketing Sdn Bhd, Rosnani Abdul Malek berkata, program itu menyediakan makanan dalam bentuk ayam goreng, kentang goreng serta minuman coklat dengan menggunakan sepenuhnya produk keluaran syarikat penganjur yang menekankan konsep halal dan harga berpatutan.Menurutnya, inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan membantu, malah menjadi platform untuk memperkenalkan produk baharu kepada masyarakat."Tahun ini kita tampil dengan menu berbeza berbanding tahun lalu. Jika sebelum ini tiada ayam goreng, kini kita perkenalkan ayam goreng hasil kerjasama bersama rakan strategik, selain minuman coklat sebagai pelengkap," ujarnya.Rosnani berkata demikian ketika ditemui sebelum majlis pelepasan konvoi Roll Out Iftar PKPS 2026 membabitkan sekumpulan Rider Misi yang diketuai Pentadbiran Misi Pusat Bandar Kuala Lumpur (PBKL), Nor Sazlyzah Abd Gapoor di pejabat PKPS di Seksyen 14, di sini.Hadir sama Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Ramli; Pengurus Besar Jualan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin; Ketua Jabatan Komersial, Pemasaran dan Komuniti Sinar Harian, Rosli Ahmad serta Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang.Mengulas lanjut, Rosnani berkata pendekatan itu turut memberi peluang kepada penerima merasai produk yang disifatkan lebih premium, selain mempromosikan inovasi terkini syarikat.Beliau berkata, produk tersebut boleh didapati di beberapa rangkaian pasar raya termasuk Ehsan Mart, Asia Mart, Segi Fresh dan ST Rosyam Mart.Dalam masa sama, penganjur turut menawarkan diskaun antara 20 hingga 30 peratus menerusi program Jualan Rahmah bagi memastikan produk berkualiti dapat dinikmati pada harga lebih mampu milik."Program pengagihan itu turut melibatkan enam lori yang bergerak ke beberapa lokasi bagi memastikan sumbangan sampai kepada sasaran," ujarnya.Kerjasama erat dan prihatinSementara itu, Zamri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan misi berkenaan termasuk rakan kerjasama dan pasukan sokongan di belakang tabir."Misi ini amat bermakna kerana kita dapat menghargai pengorbanan petugas seperti bomba, polis dan kakitangan hospital. Diharapkan usaha sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang," ujar Zamri.Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Mohd Zaini Abu Hassan berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PKPS, Sinar Harian serta Rider Misi atas kerjasama erat dalam menjayakan kolaborasi berkenaan."Saya di pihak IPK Selangor ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak PKPS, Sinar Harian serta NGO Rider Misi atas keprihatinan untuk berkolaborasi dalam menyampaikan sumbangan kepada anggota polis kontinjen Selangor."Semoga usaha murni ini diberkati dan dirahmati, serta PKPS, Sinar Harian dan Rider Misi terus maju, berjaya dan istiqamah dalam melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat," ujarnya sambil menambah setiap sumbangan kepada mereka yang memerlukan tidak akan berkurang ganjarannya.Sementara itu, wakil jurucakap Hospital Shah Alam (HSAS), Pembantu Tadbir HSAS, Nuzul Azwanie Mohamad Azley berkata, pihaknya tidak menyangka sumbangan terus diberikan kepada kakitangan HSAS pada tahun ini."Ini kerana petugas di HSAS telah menerima sumbangan pada tahun lalu," ujarnya.Beliau berharap usaha ini dapat diteruskan secara konsisten dan diperkasakan dari semasa ke semasa."Malah, sekiranya diberikan rezeki dan peluang, kita berharap inisiatif ini dapat dipanjangkan ke tahun-tahun seterusnya, insya-ALLAH," tambahnya.