Terpedaya 'untung' RM14,440, pesara rugi hampir RM100,000

KUANTAN- Umpan keuntungan RM14,440 hasil pelaburan emas disertai dengan modal hanya RM300 menjerat seorang pesara dalam perangkap penipuan pelaburan emas tidak wujud hingga kerugian hampir RM100,000.Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, wanita itu berhasrat untuk mengeluarkan wang keuntungan tersebut namun dia perlu membuat pelbagai bayaran tambahan sebagai syarat pengeluaran.Menurutnya, mangsa akur dengan syarat itu hingga membuat 19 transaksi bayaran ke beberapa akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM99,085."Mangsa syak ditipu apabila dia gagal mengeluarkan wang keuntungan tersebut walaupum bayaran tambahan telah dibuat seperti diarahkan."Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis dan kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.Ashari berkata, nasib malang wanita bermula selepas berurusan dengan seorang wanita dikenali sebagai 'Azian' untuk menyertai skim pelaburan emas yang diiklankan melalui laman sosial Facebook.Katanya, mangsa telah ditawarkan skim pelaburan bermodal serendah RM300 dengan pulangan tinggi antara RM10,000 hingga RM15.000 dalam tempoh singkat."Mangsa telah membuat bayaran permulaan RM300 sebelum dimaklumkan telah memperoleh keuntungan RM14,440 dalam tempoh 24 jam."Mangsa terjerat hingga terpaksa menanggung kerugian gara-gara 'umpan' penipuan skim pelaburan emas tidak wujud itu," katanya.Justeru itu katanya, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam tempoh singkat, khususnya melalui media sosial." Orang ramai juga digalakkan untuk membuat semakan melalui portal Semak Mule CCID atau hubungi pihak berkuasa dan hadir ke balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang transaksi," ujarnya.