KUALA LUMPUR - Dalam kesibukan metropolitan Kuala Lumpur, di celah pembangunan pesat dan hiruk-pikuk kota, masih wujud kelompok masyarakat yang bergelut dengan realiti kehidupan, khasnya golongan gelandangan dan miskin bandar di sekitar Chow Kit.Menyedari hakikat ini, Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) tampil menggalas tanggungjawab sosialnya dengan menjalin kerjasama strategik bersama Food For Gelandangan (FFG) dalam menyantuni golongan asnaf menjelang Syawal.Kedudukan UUMKL di jantung ibu kota menjadikannya sebuah institusi yang dekat dengan denyut nadi masyarakat bandar, sekaligus menuntut UUM untuk lebih responsif terhadap isu-isu sosial setempat termasuk melalui tindakan lapangan yang berimpak.Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, usaha menyantuni golongan memerlukan bukan sekadar aktiviti kebajikan bermusim, tetapi manifestasi kepada falsafah universiti yang mengangkat keseimbangan antara kecemerlangan intelek dan kemuliaan akhlak."Majlis iftar dan program kebajikan ini bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan nilai tawaduk, keprihatinan dan tanggungjawab sosial warga universiti. Di sebalik kesibukan kota raya, program ini membuka ruang untuk kita berkumpul, berkongsi rezeki dan memperkukuhkan ukhuwah," katanya.Beliau turut mengingatkan warga UUM agar terus menyeimbangkan kecemerlangan intelek dengan kemuliaan akhlak, selari dengan aspirasi universiti iaitu Menjulang Ilmu, Mengakar Adab."UUMKL perlu kekal sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang relevan dengan kehendak industri, namun tidak terpisah daripada nilai kesantunan dan kemanusiaan," katanya.Komitmen ini turut dizahirkan melalui kehadiran barisan kepimpinan tertinggi universiti dalam Majlis Iftar Perdana UUMKL 1447H dan Majlis Agihan MADANI ResQ Pek yang memperlihatkan keseriusan UUM dalam menjayakan agenda kemanusiaan ini.Selain Naib Canselor, turut hadir dalam kedua-dua majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ram Al-Jaffri Saad; Pengarah Jabatan Canselori yang menjalankan fungsi Pendaftar UUM, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi, dan beberapa penjawat utama UUM lain.Kehadiran kepimpinan tertinggi UUM ini mencerminkan komitmen institusi secara menyeluruh daripada dasar, pentadbiran hingga pelaksanaan di lapangan dalam memastikan program kebajikan ini benar-benar memberi impak kepada masyarakat.Melalui program ini, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk penyaluran sumbangan kepada golongan asnaf termasuk bantuan daripada Pusat Zakat dan Wakaf UUM, agihan 1,000 MADANI ResQ Pek kepada Food For Gelandangan (FFG) dan Bubur Lambuk Seri Sintok yang dihasilkan menggunakan teknologi retort yang mampu bertahan sehingga enam bulan yang sekali gus meningkatkan kecekapan agihan kepada golongan sasar.Namun, nilai sebenar kolaborasi ini terserlah apabila bantuan tersebut disalurkan secara langsung di sekitar Chow Kit yang sinonim dengan cabaran kemiskinan bandar.Program turun padang ini turut disertai oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM yang memainkan peranan penting sebagai penggerak utama mahasiswa di mana seramai 10 orang wakil MPP UUM telah turun padang menghadiri sesi penyerahan Madani Res-Q Pack UUM kepada golongan miskin bandar ini.Yang Dipertua MPP UUM, Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal berkata, pendekatan turun ke lapangan dan menyelami realiti kehidupan masyarakat penting bagi memastikan mahasiswa tidak hanya terkurung dalam lingkungan kampus, sebaliknya memahami sendiri kesusahan masyarakat yang jauh berbeza daripada nikmat yang dikecapi dalam persekitaran universiti."Mahasiswa perlu keluar dari kepompong kampus dan melihat sendiri realiti kehidupan masyarakat. Idealisme yang kita bawa tidak boleh bersifat retorik semata-mata, tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan yang nyata," ujarnya.Beliau berkata, menjadi jurubicara masyarakat bukan sekadar memberi ulasan atau komentar terhadap isu semasa, tetapi menuntut tindakan yang mampu memberikan impak sebenar."Dalam konteks mahasiswa sebagai komuniti peneraju ilmu, idealisme ini wajar diterjemahkan melalui usaha menyantuni golongan miskin bandar dan gelandangan, agar kita benar-benar memahami realiti kehidupan di lapangan," katanya lagi.Sementara itu, Pengasas FFG, Mohd Azizan Zainal Abidin selaku penyelaras program, melihat kerjasama ini sebagai satu permulaan penting kepada hubungan strategik jangka panjang antara universiti dan NGO.Menurut beliau, kolaborasi pertama bersama UUM pada 27 Februari lalu melalui program "Sinar Syawal" telah melibatkan 46 sukarelawan mahasiswa dan berjaya menyantuni hampir 100 gelandangan serta 120 keluarga miskin bandar di sekitar Chow Kit."FFG telah berada di lapangan sejak 2013 dan setiap Jumaat kami turun membantu komuniti jalanan. Apa yang kami perlukan bukan sekadar bantuan makanan, tetapi kolaborasi jangka panjang yang melibatkan penyelidikan, pendidikan dan pembangunan komuniti," jelas beliau.Beliau turut menekankan bahawa antara keperluan kritikal adalah pembangunan pelan jangka pendek dan jangka panjang, termasuk kajian akademik berimpak bagi memahami isu sebenar kemiskinan bandar di Chow Kit dan program pendidikan generasi kedua memandangkan masih terdapat kegagalan membawa anak-anak komuniti ini ke menara gading.Selain itu, Gelandangan Solution Program (GSP) yang memberi latihan kemahiran dan pensijilan TVET kepada golongan mampu bekerja, bagi membantu mereka keluar daripada kitaran kehidupan jalanan serta pendekatan kesedaran awam melalui konsep #santunidenganadab, #makananbukanlahsegalanya dan #elakkanpembaziranSebagai rekod, sepanjang tahun 2025 sahaja, FFG telah merekodkan 40 kolaborasi merentasi IPT, korporat dan agensi kerajaan, dengan 31 daripadanya melibatkan IPTA/IPTS.Program ini turut melibatkan kira-kira 2,000 mahasiswa sebagai sukarelawan serta sokongan tambahan hampir 160 sukarelawan walk-in.Impak kolaborasi ini bukan sahaja memperluaskan capaian bantuan, tetapi turut memperkukuhkan sokongan kepakaran dalam bidang kesihatan, kebajikan dan sosial di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu gelandangan secara lebih inklusif.Kerjasama antara UUM dan FFG ini membuktikan bahawa universiti mampu berfungsi sebagai jambatan antara ilmu dan realiti kehidupan.Dengan memanfaatkan kedudukan strategik UUMKL di Kuala Lumpur, sinergi antara kepimpinan universiti, mahasiswa dan NGO mampu melahirkan pendekatan yang lebih holistik dan berimpak tinggi.Akhirnya, inisiatif ini bukan sekadar menyantuni golongan asnaf menjelang Syawal, tetapi merupakan langkah penting dalam membina ekosistem kesarjanaan yang berakar pada kemanusiaan, sekali gus mengangkat kembali keyakinan masyarakat terhadap universiti sebagai institusi ilmu yang dihormati dan relevan kepada negara.Inilah wajah sebenar universiti, bukan hanya sekadar menara gading, tetapi juga medan perjuangan nilai, adab dan ilmu yang akhirnya akan mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap institusi pendidikan tinggi sebagai rujukan utama dalam membina masa depan negara.