JITRA – Cubaan menyeludup keluar kira-kira 2,000 liter petrol ke negara jiran berjaya dipatahkan polis dalam tempoh hanya sejam menerusi satu operasi khas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, pada Rabu.Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, operasi yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu bermula kira-kira jam 7 pagi itu berjaya menahan lima buah kenderaan pacuan empat roda jenis pikap bersama lima individu.Menurutnya, kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki warga Thailand dan seorang lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 37 tahun."Hasil pemeriksaan mendapati semua kenderaan tersebut telah diubah suai daripada spesifikasi asal dengan pemasangan tangki besi tambahan bagi menyimpan petrol."Setiap kenderaan dipercayai membawa kira-kira 400 liter petrol dan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran secara tidak sah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu pada Khamis.Beliau berkata, penggunaan kenderaan diesel untuk membawa petrol dalam tangki tambahan yang disorokkan jelas menunjukkan niat untuk menjalankan aktiviti penyeludupan, sekali gus melanggar undang-undang sedia ada.Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk lima kenderaan tersebut dianggarkan berjumlah RM560,000."Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," ujarnya.Adzli memaklumkan, hasil semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing yang dijalankan turut menunjukkan keputusan negatif.Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak polis tidak menolak kemungkinan kegiatan itu didorong oleh kenaikan harga bahan api di negara jiran susulan ketidaktentuan ekonomi global."Perbezaan harga dan catuan bekalan di negara jiran dipercayai menjadi antara faktor utama yang mendorong kegiatan penyeludupan ini," katanya.Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan stesen minyak yang dipercayai menjadi sumber bekalan kepada sindiket berkenaan."Saya ingin mengingatkan semua pengusaha stesen minyak supaya tidak bersubahat dalam kegiatan ini kerana ia boleh menjejaskan ekonomi negara serta keselamatan awam."Kita akan terus mempergiatkan operasi dan pemantauan khususnya di kawasan sempadan bagi membanteras aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi," tegasnya.Beliau turut memaklumkan, satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi memperkukuh penguatkuasaan di kawasan sempadan termasuk di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap.Katanya, pendekatan seperti sekatan jalan raya 24 jam serta operasi bersepadu akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa berdasarkan risikan dan maklumat semasa."Polis memandang serius sebarang cubaan penyeludupan bahan api dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat," katanya.