Sabotaj kestabilan negara: 14 individu akan dipanggil rakam keterangan

KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil 14 individu untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara, melibatkan individu berpengaruh dengan agensi media antarabangsa.Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya telah mempunyai senarai individu yang akan dipanggil itu."Kita telah mengambil keterangan 14 individu setakat ini dan masih lagi mengkaji serta menjalankan siasatan-siasatan lain."Seramai kira-kira 14 individu lagi akan dipanggil bagi dirakam keterangan sebelum siasatan dilengkapkan dan kertas siasatan dirujuk kepada Peguam Negara," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Khamis.Ditanya sama ada isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid antara yang akan dirakam percakapan bagi membantu siasatan namun beliau enggan mendedahkan perkara itu."Saya tidak mahu menyentuh tentang nama-nama individu dan siasatan masih lagi berjalan," katanya.12 Mac lalu, peguam kepada Nizamuddin Hamid antara yang dipanggil pihak polis untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkenaan.Media sebelum ini melaporkan, Nizamuddin antara dua peguam yang dinamakan dalam satu laporan polis yang membawa kepada siasatan berhubung dakwaan cubaan menggulingkan kerajaan.Seorang lagi peguam yang dinamakan dalam laporan polis itu ialah Amir Zharif Abdullah.Sebelum ini, Nizamuddin menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai pembohongan terbesar.Pada 27 Februari lalu, Mohd Khalid menerusi kenyataan akhbar dilaporkan berkata, satu laporan diterima pihaknya berkenaan isu terbabit dengan dakwaan melibatkan seorang individu tempatan berpengaruh dengan agensi media antarabangsa.Kata Mohd Khalid, siasatan perkara itu dijalankan oleh USJT JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.Berkenaan dakwaan itu, Na'imah dalam satu kenyataan menyifatkan dakwaan beliau cuba menggugat atau menjatuhkan kerajaan sebagai tidak masuk akal, sambil menegaskan tidak pernah terbabit, mempertimbangkan atau menyokong sebarang usaha sedemikian.Beliau turut mempersoalkan bagaimana sebuah kerajaan boleh digulingkan dengan bantuan media antarabangsa atau firma perhubungan awam dan menegaskan mendapatkan khidmat nasihat firma perhubungan awam (PR) profesional bukan satu kesalahan.Pada 3 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa cubaan untuk menjatuhkan kerajaan didukung oleh warga tempatan dengan memanfaatkan pengaruh media dan institusi antarabangsa termasuk melibatkan kelompok Zionis terkemuka.Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, siasatan awal PDRM mendapati gerakan berkenaan berpangkalan di luar negara dan mempunyai dana besar bagi merancang strategi untuk mempertikai dan menggugat kerajaan sedia ada.