Isu nadir bumi ke Pentagon: Lynas, kerajaan diminta tampil beri penjelasan

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor mendesak syarikat Lynas Rare Earths Ltd dan kerajaan Malaysia tampil memberi penjelasan berhubung laporan perjanjian pembekalan unsur nadir bumi kepada Pentagon, agensi pertahanan Amerika Syarikat.Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya memandang serius perkembangan itu kerana nadir bumi merupakan bahan strategik yang digunakan dalam teknologi ketenteraan moden."Perjanjian ini menimbulkan kebimbangan kerana unsur nadir bumi digunakan dalam radar, sistem peluru berpandu, satelit serta komponen industri pertahanan berteknologi tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Menurutnya, Lynas perlu tampil memberikan penjelasan secara terbuka sama ada bahan yang diproses melalui operasinya di Malaysia menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan kepada sektor pertahanan Amerika Syarikat."Sokongan ketenteraan Amerika Syarikat kepada rejim Zionis Israel yang terus melakukan serangan terhadap rakyat Palestin di Gaza juga menjadi perhatian besar umat Islam di seluruh dunia," kata Mohamed Sukri.Ujar beliau, syarikat itu juga perlu memperincikan sumber bahan mentah, lokasi pemprosesan serta sama ada fasiliti di negara ini terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan."Sebagai syarikat asing yang beroperasi di Malaysia, Lynas mempunyai tanggungjawab moral dan korporat untuk memastikan operasinya tidak menimbulkan implikasi geopolitik sensitif kepada negara," jelas beliau.Dalam masa sama, Mohamed Sukri berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan pendirian rasmi berhubung isu itu kerana ia bukan sekadar melibatkan perdagangan, sebaliknya berkait dengan keselamatan strategik dan imej negara.Tambahnya, kerajaan perlu menyatakan sama ada terdapat mekanisme kawalan bagi memastikan sumber strategik negara tidak disalurkan kepada industri ketenteraan kuasa besar yang terlibat dalam konflik antarabangsa.Menurutnya, isu itu menjadi lebih sensitif memandangkan penglibatan Amerika Syarikat dalam beberapa konflik global termasuk di Palestin, Iraq, Afghanistan, Syria dan Iran."Rakyat berhak mengetahui sama ada Malaysia secara tidak langsung menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan strategik yang menyokong industri ketenteraan kuasa besar dunia," tegasnya.Beliau memberitahu, sumber nadir bumi adalah aset strategik negara yang perlu diurus secara telus dan bertanggungjawab.Katanya, Malaysia wajar memberi tumpuan kepada pembangunan rantaian nilai domestik industri nadir bumi bagi memanfaatkan sumber itu untuk pembangunan teknologi tempatan dan pengukuhan ekonomi negara."Pemuda Pas Selangor menyeru Lynas dan kerajaan segera tampil memberikan penjelasan menyeluruh demi menjaga kepentingan negara serta sensitiviti rakyat," jelas beliau.