KUALA LUMPUR - Polis akan mendapatkan kerjasama pihak berkuasa luar negara berhubung siasatan lanjut penyiaran artikel diterbitkan Bloomberg yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya sudah hadir ke pejabat media antarabangsa itu di ibu kota untuk tindakan lanjut."Kita sudah bertemu beberapa kakitangan agensi berkenaan dan dimaklumkan mereka yang berkaitan ada yang berpangkalan di luar negara."Jadi tindakan yang selanjutnya kita kena buat melalui Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance – MLA) atau agensi ke agensi bagi mendapatkan kerjasama pihak berkaitan," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Khamis.Sebelum ini media melaporkan, polis membuka kertas siasatan berhubung penyiaran artikel diterbitkan Bloomberg itu.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan polis dan sedang menjalankan siasatan berhubung penyiaran artikel yang diterbitkan syarikat media antarabangsa itu.Terdahulu media melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki memulakan tindakan undang-undang terhadap laporan Bloomberg baru-baru ini, yang disifatkannya sebagai mengelirukan, berunsur fitnah dan menjejaskan reputasi beliau serta integriti suruhanjaya berkenaan.Dalam kenyataan menerusi peguamnya, Tetuan Zain Megat & Murad, firma itu memaklumkan pihaknya diarahkan untuk memulakan tindakan berkenaan dan mendapatkan segala tindakan yang berkaitan dengan penerbitan itu termasuk tuntutan ganti rugi dan relif lain yang bersesuaian.