Gabungan NGO desak tangguh pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025

KUALA LUMPUR -Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyarankan kerajaan menangguhkan pelaksaaan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang akan dilaksanakan penghujung Mac ini.Menurut kenyataan bersama itu, satu jawatankuasa khas 'sandbox' perlu ditubuhkan bagi menilai semula pelaksanaan RUU itu secara menyeluruh."Kami ingin menegaskan bahawa kami tidak menuntut pemansuhan undang-undang ini sebaliknya niat kami jelas, berikan ruang untuk penambahbaikan yang menyeluruh sebelum ia dilaksanakan."Tindakan menangguhkan sesuatu RUU demi kepentingan dan kebaikan rakyat bukanlah suatu perkara yang luar biasa atau belum pernah berlaku di Parlimen," katanya di sini pada Khamis.Tambahnya, kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap isu yang dibangkitkan bagi mengelakkan kesan negatif kepada pekerja gig serta menjejaskan keyakinan rakyat.Katanya lagi, kebimbangan tersebut bukan perkara baharu, sebaliknya telah lama disuarakan termasuk dakwaan proses penggubalan undang-undang itu yang dilakukan secara tergesa-gesa."Pendirian kami kekal tegas dan konsisten bahawa sebarang penggubalan perlu dilaksanakan secara menyeluruh, berlandaskan pertimbangan pelbagai aspek yang kritikal, serta tidak bersifat tergesa-gesa atau reaktif."Walaupun matlamat asal RUU ini adalah untuk membela nasib pekerja, penelitian kami mendapati pelaksanaannya dalam bentuk sedia ada bakal membawa impak rantaian yang membebankan ekosistem gig negara terutama pekerja e-hailing dan p-hailing," ujarnya.Gabungan NGO tersebut menggesa kerajaan meneliti secara mendalam isu penglibatan pemastautin tetap (PR) dalam sektor e-hailing dan p-hailing yang tidak dibanteras sepenuhnya."Selain itu, kami memandang serius cadangan prosedur penggantungan atau penamatan akses sistem di bawah akta berkenaan yang mana ia berpotensi melemahkan mekanisme keselamatan sedia ada dalam industri e-hailin negara."Cadangan prosedur pentadbiran baharu yang dikatakan boleh mengambil masa sehingga 14 hari sebelum sesuatu tindakan dilaksanakan dilihat melambatkan proses penguatkuasaan terhadap kes-kes yang melibatkan risiko keselamatan," katanya.Tambahnya lagi, pengiktirafan dan pemutihan sektor gig melalui akta tersebut secara tidak langsung bakal mendedahkan golongan pekerja gig kepada jaringan cukai pendapatan."Majoriti pemandu dan penghantar gig adalah golongan B40 dan M40 yang melakukan kerja ini atas dasar kelangsungan hidup, bukannya kerjaya profesional bergaji tinggi."Memaksa struktur percukaian formal ke atas pendapatan gig yang tidak menentu dan berisiko tinggi adalah satu bentuk penindasan terancang," katanya.Kata kenyataan itu, kerajaan perlu kembali ke meja perundingan bersama semua pemegang taruh dan memastikan akta yang bakal dikuatkuasakan itu benar-benar melindungi nyawa pengguna dan poket pekerja, bukannya menambah karenah birokasi serta beban kewangan.