'Jangan benarkan kapal perang AS berlabuh, semak semula perjanjian dengan AS' - Mapim

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia perlu bertindak tegas dengan tidak lagi menerima permohonan persinggahan (port of call) kapal perang Amerika Syarikat (AS) di mana-mana pelabuhan negara ini.Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, langkah tersebut merupakan pendirian berprinsip yang mencerminkan usaha mempertahankan kedaulatan negara serta menolak sebarang bentuk keterlibatan tidak langsung dalam konflik ketenteraan di Asia Barat."Dalam situasi geopolitik semasa, AS terlibat secara aktif dalam konflik bersama Israel, termasuk serangan terhadap Iran dan sokongan berterusan terhadap tindakan agresif di Gaza dan Tebing Barat."Malaysia tidak boleh dilihat sebagai pihak yang memberi ruang logistik kepada kekuatan ketenteraan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Sebelum ini media melaporkan, kapal LCS milik Tentera Laut AS, USS Tulsa dan USS Santa Barbara dilaporkan berlabuh di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang.Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggesa kerajaan memberi penjelasan berhubung laporan kehadiran aset tentera laut AS di perairan negara yang didakwa boleh menimbulkan persepsi bercanggah dengan dasar berkecuali Malaysia.Bagaimanapun, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan, kehadiran dua kapal terbabit dari 14 hingga 16 Mac lepas hanyalah persinggahan sementara bagi tujuan logistik.Mohd Azmi berpandangan, membenarkan kapal perang berlabuh walaupun atas alasan teknikal atau diplomatik boleh ditafsir sebagai satu bentuk legitimasi terhadap operasi ketenteraan yang telah mengorbankan ribuan nyawa awam, termasuk wanita dan kanak kanak."Justeru, Malaysia mesti kekal tegas mempertahankan prinsip berkecuali berprinsip, tanpa memberi ruang kepada mana mana kuasa besar menggunakan wilayah negara untuk kepentingan ketenteraan mereka," ujarnya.Dalam perkembangan sama, beliau mengesa semua perjanjian pertahanan, keselamatan dan kerjasama strategik dengan AS perlu disemak semula secara menyeluruh"Sebarang bentuk kerjasama yang berpotensi mengaitkan Malaysia dengan konflik atau operasi ketenteraan luar perlu dihentikan," tegasnya lagi.Mohd Azmi berkata, Malaysia harus memperkukuh dasar luar yang bebas dan berdaulat, selaras dengan prinsip keamanan dan keadilan sejagat.Tambah beliau, keputusan terbabit perlu dijadikan titik permulaan kepada penilaian semula lebih luas terhadap hubungan strategik Malaysia dengan kuasa kuasa besar, agar ia benar benar mencerminkan kepentingan nasional serta nilai kemanusiaan."Negara-negara lain di rantau ini diseru untuk mengambil pendirian yang sama bagi mengelakkan Asia Tenggara daripada menjadi pangkalan sokongan kepada konflik yang tidak membawa keamanan."Keamanan tidak akan tercapai melalui kekuatan senjata semata mata, tetapi melalui keadilan, diplomasi dan penghormatan terhadap kedaulatan negara," katanya.