PPIM desak kerajaan tutup kelompongan industri e-hailing

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyuarakan kebimbangan terhadap kelompongan kritikal dalam ekosistem e-hailing dan p-hailing negara yang disifatkan boleh mengundang ancaman keselamatan kepada pengguna.Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri melihat kelemahan sistem dan penguatkuasaan yang didakwa menjejaskan hak serta keselamatan rakyat.Beliau turut menyatakan sokongan terhadap desakan Persatuan Kebajikan Pekerja E-Hailing Malaysia (PKEH) berhubung isu keselamatan dalam industri berkenaan."Isu keselamatan penumpang melibatkan maruah dan nyawa, bukan perkara yang boleh dirunding dalam proses birokrasi yang berpanjangan."Ketiadaan pangkalan data berpusat telah mewujudkan ruang yang membolehkan individu bermasalah terus beroperasi di platform lain," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Menurut beliau, situasi itu menimbulkan persoalan apabila pemandu yang digantung atau dibuang kerana kesalahan serius seperti gangguan seksual masih boleh berdaftar dengan platform lain.Katanya, keadaan itu bukan sekadar kelemahan teknikal, sebaliknya menunjukkan kegagalan sistem yang memerlukan tindakan segera.Dalam pada itu, PPIM turut mengkritik cadangan prosedur di bawah Akta Pekerja Gig 2025 yang memberikan tempoh rayuan sehingga 14 hari bagi kes jenayah."Tempoh tersebut tidak wajar bagi kes melibatkan keselamatan kerana ia boleh mendedahkan pengguna kepada risiko berulang," katanya.Sehubungan itu, PPIM mengemukakan tiga tuntutan utama kepada kerajaan bagi memperkukuh keselamatan industri berkenaan, termasuk mewujudkan pangkalan data senarai hitam berpusat yang berfungsi secara masa nyata bagi menyekat pemandu bermasalah daripada beroperasi di semua platform.Selain itu, PPIM mencadangkan agar tindakan yang telah diambil oleh platform terhadap pemandu yang terbukti melakukan kesalahan serius diiktiraf dan disusuli tindakan tegas oleh pihak berkuasa.Persatuan itu juga menuntut supaya tempoh rayuan selama 14 hari dimansuhkan bagi kes jenayah berat, termasuk gangguan seksual dan pemanduan berbahaya.PPIM turut menggesa kerajaan agar mengambil pendekatan proaktif dalam menangani isu berkenaan dan tidak hanya bertindak selepas sesuatu kes menjadi tular."Rakyat memerlukan sistem yang benar-benar menjamin keselamatan dan tidak memberi ruang kepada penjenayah untuk terus beroperasi dalam industri e-hailing," katanya.