KERAJAAN digesa untuk menyalurkan baki peruntukan RM15 juta yang sepatutnya diberikan kepada skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya kepada skuad hoki negara bagi menghadapi persiapan Piala Dunia, Ogos ini.Pemerhati sukan, Zakaria Rahim berkata, langkah itu wajar memandangkan situasi semasa skuad bola sepak negara yang kini dianggap ‘tutup kedai’ susulan hukuman berat oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).Menurutnya, krisis berkaitan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain 'warisan' telah melumpuhkan hala tuju pasukan kebangsaan buat masa ini."Selepas Piala Asia 2024 pada 12 Januari 2025 yang lalu, kerajaan mengumumkan peruntukan RM30 juta kepada bola sepak Malaysia dan FAM. Ini satu jumlah yang sangat besar bagi mana-mana organisasi sukan di negara ini."RM15 juta adalah daripada kerajaan, manakala RM15 juta lagi daripada pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor korporat yang telah memberi jaminan."Namun dengan situasi terkini, peruntukan itu lebih elok dialihkan pengalirannya kepada skuad hoki negara yang akan beraksi di Piala Dunia tidak lama lagi," katanya dalam satu kenyataan.Sebelum ini, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan hukuman yang dijatuhkan oleh FIFA ke atas FAM dan tujuh pemain 'warisan' iaitu Hector Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Gabriel Palmero.Kesemua pemain terbabit dikenakan penggantungan selama 12 bulan daripada perlawanan rasmi selain denda tinggi, manakala AFC turut membatalkan kemenangan Malaysia ke atas Vietnam dan Nepal dalam kelayakan Piala Asia, sekali gus menyaksikan Harimau Malaya gagal ke kejohanan berkenaan.Zakaria menjelaskan, walaupun harapan terhadap skuad hoki mungkin tidak setinggi bola sepak, namun mereka sewajarnya diberikan suntikan semangat, terutama melibatkan kebajikan pemain dan kejurulatihan.Tegasnya, bagi seorang pemain profesional, latihan yang terbaik semata-mata tidak mencukupi sekiranya kebajikan asas mereka tidak terjaga."Mereka juga ada ‘perut dan mulut’ yang perlu disuap. Jika aspek itu dapat dijaga dengan sempurna, pemain pasti akan dapat memberikan fokus 200 peratus dalam latihan persiapan ke Piala Dunia."Mungkin daripada RM30 juta itu, sebanyak RM15 juta telah digunakan. Itu tidak mengapa. Tetapi baki RM15 juta daripada GLC yang dijanjikan itu wajar disalurkan kepada skuad hoki yang kini dalam keadaan ‘daif’ dan ‘nazak’."Mereka jauh lebih memerlukan berbanding bola sepak, malah lebih memerlukan dana itu berbanding pasukan Piala Thomas yang juga akan beraksi tahun ini."Harap Menteri Belia dan Sukan dapat mempengaruhi PM untuk mengubah aliran peruntukan tersebut," ujarnya.