SELEPAS beberapa tahun menyepi, penyanyi yang pernah mencuri perhatian menerusi Akademi Fantasia musim pertama, Azizi kini kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan single raya terbaharu berjudul Raya Pop.Kali terakhir tampil dengan single Hati Mati pada 2020, kemunculan semula Azizi atau nama sebenarnya Ahmad Azizi Mohamed membawa nafas segar dengan konsep yang lebih moden dan bertenaga.Menariknya, Raya Pop hadir dengan sentuhan modern Broadway yang menggabungkan elemen joget bersama susunan muzik kontemporari, sekali gus menghasilkan lagu yang ceria dan penuh warna sempena Aidilfitri.Menurut Azizi, tempoh lima tahun tanpa karya baharu bukanlah satu fasa yang sia-sia, sebaliknya digunakan untuk memperhalusi arah muzik selain memberi tumpuan kepada kehidupan peribadi dan keluarga."Saya ambil masa untuk mencari karya yang benar-benar sesuai dan mempunyai nilai emosi. Dalam tempoh itu juga saya cuba perbaiki kekurangan dan fokus kepada perkara yang lebih penting dalam hidup," katanya.Tambahnya, Raya Pop bukan sekadar tanda kembalinya dia dalam industri, tetapi juga menjadi permulaan kepada perjalanan seni yang lebih aktif selepas ini."Lagu ini terinspirasi daripada kegembiraan anak saya dan kanak-kanak yang menjadi penyeri Aidilfitri. Saya mahu suasana raya itu terasa lebih hidup, penuh warna, tawa dan kasih sayang," ujarnya.Single tersebut merupakan hasil ciptaan Aus K dengan lirik oleh The, menampilkan melodi yang mudah diingati serta lirik yang menggambarkan kemeriahan sambutan raya bersama keluarga dan sahabat handai.Azizi turut berharap lagu berkenaan dapat menceriakan suasana Aidilfitri serta menjadi antara pilihan pendengar sepanjang musim perayaan."Saya berharap Raya Pop dapat dekat di hati pendengar. Ini adalah langkah baharu dalam perjalanan seni saya dan saya sangat bersyukur dapat kembali berkongsi karya," katanya.Pelancaran rasmi lagu tersebut pada 27 Februari lalu sekali gus menandakan fasa baharu buat Azizi dalam industri muzik tanah air, dengan pendekatan yang lebih matang namun tetap mengekalkan elemen kegembiraan Aidilfitri.