SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin meminta kerajaan supaya membuat persediaan segera dengan mengemukakan pelan kontingensi agar rakyat dan negara berupaya menghadapi cabaran ekonomi mendatang.Ia berikutan ketika ini perang sedang meletus di Asia Barat, yang mana serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran mengheret konflik ke serata rantau Teluk hingga memberi kesan kepada ekonomi di seluruh dunia.Beliau berpendapat sekiranya keadaan sedemikian berterusan, ekonomi Malaysia akan terjejas dalam konteks harga barang melambung dan inflasi meningkat sehingga akhirnya rakyat menjadi mangsa."Pada waktu inilah kita mengharapkan kepimpinan yang baik, yang mempunyai hala tuju jelas, matang dalam membuat keputusan dan tahu mencari jalan keluar untuk rakyat serta negara."Kita mahu kerajaan melakukan yang terbaik, membuat persediaan segera dengan mengemukakan pelan kontingensi agar rakyat dan negara berupaya menghadapi cabaran mendatang nanti," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.Ahli Parlimen Larut itu berpandangan bahawa dalam soal kepimpinan dan hala tuju negara, agenda 'reset' amat penting untuk dilaksanakan.Menurutnya, 'reset' bukan soal kelangsungan politik mana-mana individu mahupun parti.Sebaliknya, kata beliau, ia merupakan perjuangan yang bersifat menyeluruh, inklusif dan berorientasikan masa depan negara."Lebih penting, ia selari dengan pendekatan maqasid syariah agar terbinanya 'Baldatun Tayyibatun wa Rabbul Ghafur' (sebuah negara yang baik, makmur serta mendapat keampunan dan keberkatan ALLAH SWT)," ujarnya.Dalam hantaran sama, Hamzah turut berkesempatan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat umat Islam di seluruh dunia yang meraikannya."Semoga segala amal ibadah yang kita lakukan pada bulan Ramadan ini diterima ALLAH SWT, insya-ALLAH."Namun, dalam kegembiraan menyambut raya, jangan sesekali dilupakan saudara kita di Palestin yang terus dizalimi oleh kekejaman Zionis."Saya mengambil kesempatan ini bagi pihak keluarga saya serta ahli-ahli Parlimen pembangkang memohon ampun dan maaf kepada semua, khususnya kepada rakyat Malaysia," kata bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu lagi.