Tiga beranak maut, motosikal dinaiki terbabas ketika bercuti di Pulau Tioman

ROMPIN - Kakitangan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) bersama isteri dan seorang anaknya maut selepas motosikal yang dinaiki terbabas sendiri di Jalan Tekek - Kampung Juara, Pulau Tioman di sini pada Sabtu.Dalam kemalangan kira-kira jam 4 petang itu, Mohd Sabri Ja’afar, 42, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, isteri mangsa, Aisyah Suhaimi, 32, dan anak lelaki mereka, Muhammad Yusuf Abdurrahman Mohd Sabri, 5, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Tekek akibat kecederaan di kepala.Menurutnya, siasatan awal mendapati tiga beranak dari Putrajaya itu dipercayai datang ke pulau peranginan tersebut untuk bercuti."Mereka baru tiba hari ini (Sabtu) untuk cuti beraya di pulau itu sehingga Isnin ini."Ketika kejadian, mereka dipercayai dalam perjalanan pulang dari arah air terjun Kampung Juara menghala ke penginapan di Juara Mutiara Resort di sini dengan menggunakan motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz yang disewa," katanya.Sharif Shai berkata, ketika tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang Mohd Sabri dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri ke bahu jalan sebelah kiri.Katanya, akibat kemalangan tersebut, Mohd Sabri meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isteri dan anaknya disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Tekek.Beliau berkata, jenazah mangsa akan dibawa ke Hospital Rompin menggunakan bot Pasukan Polis Marin (PPM) untuk proses bedah siasat."Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pihak polis juga sedang mengesan saksi yang melihat kejadian bagi membantu siasatan," ujarnya.