Suami koma, Aidilfitri pertama selepas enam bulan berkahwin

BACHOK – Impian Rosirdawatie Aziz, 27, untuk meraikan Aidilfitri pertama bersama suami tercinta, Mazrie Ismail, 30, yang baru enam bulan dikahwininya berkecai apabila lelaki itu koma selepas menjadi mangsa ragut pada 8 Januari lalu.Mazrie yang terlantar sepenuhnya di atas katil itu bergantung kepada susu dan bantuan perubatan untuk terus bertahan sekali gus menyaksikan Aidilfitri yang sepatutnya penuh kegembiraan berubah menjadi ujian emosi paling berat bagi Rosirdawatie."Sehingga kini, saya belum membuat sebarang persiapan sambut lebaran. Fokus saya hanya untuk menjaga suami."Biarlah saya beraya tanpa baju baharu seperti orang lain, asalkan dapat berada di sisinya walaupun hanya mampu menatap sekujur tubuhnya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah keluarga mentuanya di Kubang Telaga di sini.Menurut Rosirdawatie, setiap hari masanya dihabiskan dengan menguruskan suami termasuk memberi Mazrie susu lima kali sehari melalui wayar khas, dan membantu mengeluarkan kahaknya.Katanya, tugasan itu membuatkan dia gembira apabila melihat suami tercinta masih bernafas dan setiap hari dia berdoa agar insan tercinta itu kembali sedarkan diri kerana banyak cerita yang mahu dikongsikan."Saya hanya ada suami, ibu bapa sudah lama meninggal dunia. Dialah tempat saya bermanja. Alhamdulillah, saya bernasib baik kerana mempunyai bapa mentua (Ismail Awang Ya, 60) dan ibu mentua (Rohani Mohd Yusof, 62) yang baik serta memahami."Mereka berdua banyak memberikan semangat serta sentiasa ada bersama sepanjang menjaga suami yang sudah koma lebih 50 hari itu," katanya.Sebelum ini Sinar Harian melaporkan baharu enam bulan mengikat ikatan perkahwinan, pasangan dari Kubang Telaga di sini diuji apabila suami koma selepas menjadi mangsa ragut pada 8 Januari lalu.Menurut Rosirdawatie tragedi menimpa suaminya, Mazrie berlaku semasa cinta hatinya itu dalam perjalanan ke tempat kerja di Cherang Tuli, Pasir Puteh."Suami merupakan pemandu dan bertugas di Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Ketika melalui jalan di Kampung Merkang sekitar jam 7 pagi dia dipercayai telah diragut oleh dua lelaki."Kejadian itu telah menyebabkan dia yang menunggang motosikal dikatakan telah terjatuh di atas jalan. Topi keledar yang dipakai pecah sehingga menyebabkan dia mengalami pendarahan di dalam kepala."Suami ditemukan oleh bapa saudara yang kebetulan melalui jalan yang sama sekitar jam 7.15 pagi dan mendapati tiada luka atau pendarahan berlaku pada anggota badannya, namun dia tidak sedarkan diri," katanya.Menurut dia, mengikut laporan doktor, suaminya mengalami pendarahan di dalam kepala dan sehingga kini masih koma.Ujar suri rumah itu, ada saksi yang melihat kejadian suami diragut namun oleh kerana jarak yang terlalu jauh kedua-dua suspek tidak dapat dikenal pasti.Rosirdawatie memberitahu, saksi melihat dua lelaki terbabit menarik beg sehingga suami terjatuh."Suami dibawa ke Hospital Tengku Anis sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra di Kuala Krai kemudian dibenarkan pulang ke rumah.Rosirdawatie memberitahu, semenjak suami koma mereka telah kehilangan sumber pendapatan dan hanya bergantung kepada ahli keluarga yang banyak membantu.Orang ramai yang ingin menyumbang kepada pasangan ini boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 151258771167.