JOHOR BAHRU – Di sebalik konflik ketegangan di Asia Barat khususnya selepas serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran, pelajar antarabangsa di Malaysia tetap bersyukur dapat menjalani ibadah puasa seterusnya meraikan Aidilfitri dalam suasana aman dan harmoni di negara ini.Penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari Mesir, Hajar Hisham, 23, berkata, walaupun berjauhan daripada keluarga, pengalaman berpuasa di Malaysia tetap memberi ketenangan kerana masyarakatnya hidup dalam keadaan aman dan saling menghormati.Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Mekatronik itu berkata, suasana Ramadan di Malaysia yang penuh kemeriahan serta sokongan rakan-rakan tempatan sedikit sebanyak mengubat kerinduannya terhadap keluarga di Mesir.Menurut Hajar, dia kerap menghubungi keluarganya bagi memastikan mereka berada dalam keadaan selamat berikutan ketegangan yang berlaku di rantau Asia Barat sejak akhir Februari lalu."Walaupun keluarga saya berada jauh di Mesir dan ayah bekerja di Arab Saudi, saya tetap bersyukur kerana dapat menjalani Ramadan dengan aman di Malaysia."Saya selalu menghubungi ayah dan ahli keluarga lain untuk bertanya khabar. Setakat ini semuanya baik, tetapi sudah tentu kami tetap risau dengan situasi yang berlaku," katanya.Dalam pada itu, Hajar berkata, pengalaman menyambut Ramadan dan Aidilfitri di Malaysia memberikan kenangan tersendiri buat dirinya, terutama apabila berpeluang mengenali budaya tempatan dengan lebih dekat."Banyak pengalaman menyeronokkan sepanjang tiga tahun berada di negara ini. Tidak dapat dilupakan, saya diberi peluang menghadiri majlis sambutan Aidilfitr dan bertemu dengan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, tiga tahun lalu."Di Mesir, jalan-jalan dihias dengan lampu berwarna-warni sepanjang Ramadan. Rasa rindu terubat bila tengok dekorasi lampu sempena Aidilfitri di banyak tempat di negara ini," katanya.Sementara itu, penuntut tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Chad, Abdelilah Yousouf Hamid Isa, 25, mengakui tetap berasa risau terhadap keselamatan ibu bapanya yang kini bekerja di Arab Saudi.Menurutnya, ibunya bertugas sebagai pensyarah manakala bapanya pula merupakan ejen hartanah."Buat masa ini tiada laporan serius berlaku di sana, namun saya tetap bimbang tentang keselamatan mereka dan kerap menghubungi ibu serta ayah untuk memastikan keadaan mereka baik."Saya juga pernah bekerja di Arab Saudi selama tiga tahun sebelum menyambung pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai. Doa saya tidak pernah putus agar konflik di Asia Barat segera berakhir dan keadaan kembali aman," katanya.Pada masa sama, Abdelilah berkata, walaupun berjauhan daripada keluarga, pengalaman berbuka puasa bersama komuniti setempat di Malaysia tetap memberikan kenangan manis sepanjang Ramadan."Kami sering berbuka puasa di masjid berhampiran apartmen. Di situ kami berpeluang bertemu orang tempatan, berbual dan menikmati juadah bersama."Di negara kami, Ramadan biasanya diraikan bersama keluarga dan rakan-rakan. Di sini pula, walaupun jauh dari keluarga, kami masih dapat berkumpul dengan rakan dari negara yang sama," katanya.Menurutnya, pelbagai makanan tempatan yang enak dapat dinikmati di Malaysia, namun nasi goreng menjadi antara hidangan kegemarannya."Cari rakan untuk berbuka puasa bersama dan cuba pengalaman baharu termasuk makanan tempatan. Dengan cara itu, Ramadan dan Aidilfitri di sini akan terasa lebih bermakna," katanya.