Kali pertama dan terakhir ambil gambar raya sedondon

SABAK BERNAM - Saat manis merakam gambar keluarga menggayakan baju raya sedondon buat kali pertama pada Aidilfitri tahun lepas, menjadi kenangan terakhir bersama bapa tersayang.Anak sulung, Mohd Noraffizi Hamzah, 41, berkata, perkara tersebut tidak lagi dirasai pada hari raya kali ini selepas bapa, Allahyarham Hamzah Omar, 65, pergi buat selama-lamanya pada Jun tahun lalu.Menurutnya, arwah dijumpai dalam keadaan tidak bernyawa di bendang belakang rumah mereka di Parit 3 Barat Banat dekat Sungai Besar, kira-kira jam 10 pagi dipercayai terkena serangan jantung ketika menebas rumput."Kami memang jarang ambil gambar ramai-ramai, apatah lagi nak pakai sedondon."Kebetulan raya tahun lepas semua ahli keluarga berkumpul, jadi kami ambil gambar bersama sebelum keluar menziarahi saudara di Banting."Tak sangka itulah gambar terakhir kami bersama arwah," katanya kepada Sinar Harian.Ujar Mohd Noraffizi, rendang ayam merupakan menu kegemaran arwah bapa pada setiap pagi 1 Syawal.Menurutnya, Allahyarham juga seorang yang rajin membantu ibu sepanjang Ramadan dan membuat persiapan raya selain menguruskan tanaman bunga di halaman rumahSementara itu, Siti Rumziah Wahidon, 41, iaitu isteri kepada Mohd Noraffizi berkata, pemergian bapa mentua meruntun jiwa kerana pernah melalui saat kehilangan dua ahli keluarga."Abang kandung saya, Allahyarham Misran Wahidon meninggal dunia berdekatan tali air, empat tahun lalu."Bapa pula, Allahyarham Wahidon Marzuki pergi buat selama-lamanya ketika saya masih berusia tujuh tahun."Walaupun Aidilfitri disambut setiap tahun, suasananya tidak lagi sama lebih-lebih lagi dengan ketiadaan insan tersayang," ujarnya.