Tempahan potret raya di studio laris

KUANTAN – Meskipun teknologi telefon pintar semakin canggih, khidmat fotografi studio tetap menjadi pilihan apabila ratusan tempahan bagi sesi penggambaran potret raya diterima tahun ini.Trend tersebut membuktikan sebahagian masyarakat masih mendambakan sentuhan jurufoto profesional bagi mengabadikan kenangan keluarga dengan persalinan sedondon serta dandanan istimewa sempena Aidilfitri.Pemilik studio SLP Photo Studio and Video Production, Faiz Ishak, 43, berkata, permintaan tinggi mendorong pihaknya membuka tempahan seawal hari pertama Ramadan bagi memenuhi kehendak pelanggan."Kalau kita tengok, permintaan meningkat dari tahun ke tahun terutama pada malam raya, hari pertama Aidilfitri dan beberapa hari selepas itu."Setakat ini kita sudah terima sekitar 200 tempahan dan dalam sehari lebih 10 keluarga hadir untuk sesi penggambaran di studio."Ada masanya kami terpaksa menangguhkan sambutan raya bagi memenuhi tempahan pelanggan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Indera Mahkota di sini.Beliau yang berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang fotografi memberitahu, cabaran utama dalam industri tersebut ialah keperluan untuk sentiasa meningkatkan kemahiran selaras dengan perkembangan teknologi.Ujar anak jati Klang, Selangor itu, mereka tidak boleh ketinggalan dari segi ilmu bagi memastikan hasil kerja kekal relevan dengan kehendak semasa pelanggan."Kami cuba tingkatkan kualiti dan cipta kelainan yang mampu menarik minat pelanggan mengikut trend semasa."Bila kita ikut perkembangan itu, rasanya untuk bersaing tidak menjadi masalah walaupun ada harga lebih murah di luar sana kerana pelanggan tertarik dengan idea yang kita tawarkan," jelasnya yang mempunyai kira-kira 8 pekerja.Selain sesi di studio, Faiz turut menerima tempahan dari luar daerah termasuk Temerloh dan Jengka, malah ada pelanggan dari Kuala Lumpur yang mendapatkan khidmatnya.Menurutnya, bagi memudahkan pelanggan, pihaknya turut menawarkan perkhidmatan ‘studio di rumah’."Kalau ada permintaan, kita boleh pergi menjalankan sesi penggambaran di rumah pelanggan, tetapi ia bergantung kepada pilihan mereka sendiri."Untuk tujuan itu, kita akan membawa peralatan seperti sistem pencahayaan, latar belakang dan kelengkapan lain bersama pembantu bagi menjalankan sesi fotografi raya," katanya.