SUNGAI PETANI - Aidilfitri merupakan saat ditunggu-tunggu umat Islam untuk berkumpul dan meraikan hari bahagia bersama keluarga, sanak saudara serta jiran tetangga.Tidak ketinggalan, pasangan kerdil, Mohd Razif Romle, 40, dan isterinya, Nor Hazani Zakaria, 45, bersama anak tunggal mereka, Awatif Jannah, 10, turut membuat persiapan awal bagi memastikan raya tahun ini disambut penuh kemeriahan.Menurut Nor Hazani, persiapan mereka sama seperti keluarga lain termasuk membeli pakaian baharu dan menyediakan juadah hari raya.Katanya, tahun ini giliran mereka beraya di kampung Mohd Razif di Felda Bukit Tangga, Changlun, sebelum pulang ke kampungnya di Besut, Terengganu.Bagaimanapun, katanya, setiap kali menjelang Aidilfitri, beliau akan membetulkan pakaian tiga beranak itu terlebih dahulu sebelum menjahit semula mengikut saiz tubuh mereka."Bukan baju raya sahaja, semua pakaian yang kami beli perlu dipotong dan dijahit semula. Sebab itu saya beli mesin jahit sendiri. Kalau hantar ke kedai, kosnya agak mahal," jelasnya sambil tersenyum.Namun, ada juga persiapan yang memerlukan bantuan pihak ketiga seperti memasang langsir dan mencuci tingkap.Selain itu, kereta yang dipandu pasangan berkenaan turut diubah suai bagi memudahkan pemanduan.Dalam pada itu, Nor Hazani mengakui tidak pernah menyangka akan bertemu jodoh dengan lelaki kerdil sepertinya."Saya sebenarnya pernah mengimpikan jodoh dengan orang normal, tetapi semua itu rahsia ALLAH."Kami mula berkenalan di media sosial dan kemudian bertemu semasa aktiviti Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM). Dari situ kami semakin rapat sebelum bersetuju untuk berkahwin," katanya.Nor Hazani yang aktif dalam sukan tenpin boling dan boling padang pernah mewakili acara sukan di peringkat negeri, malah menjadi wakil pertubuhan menyertai perlawanan persahabatan dengan pasukan Singapura beberapa tahun lalu.Beliau bersama suami turut terpilih menyertai kumpulan koir delegasi Malaysia pada Majlis Penutupan Sukan Para ASEAN ke-13 di Thailand pada Januari lalu.Berkongsi mengenai kehidupannya sebagai individu kerdil, Nor Hazani berkata, beliau berlapang dada menerima keadaan fizikal tersebut dengan hati yang reda dan sabar."Reda dan sabar. Dua perkara itu sukar digambarkan, tetapi itulah kekuatan untuk teruskan kehidupan," katanya.Menurutnya, Awatif sebenarnya merupakan anak kedua mereka selepas anak sulung meninggal dunia, diikuti anak ketiga dua tahun lalu."Walaupun begitu, kami tetap bersyukur kerana masih dikurniakan zuriat," katanya.Nor Hazani berkata, Awatif kini bersekolah di Tahun Empat dalam aliran biasa dan membesar bersama rakan-rakan normal.Tidak dinafikan, anaknya itu sering bertanya mengenai perbezaan fizikal mereka dan sebagai ibu bapa, mereka perlu bijak memberikan penjelasan sesuai."Dia banyak bertanya tentang fizikal. Kita kena jawab dengan cara yang betul supaya dia faham."Awatif juga berbeza dengan saya ketika kecil. Dulu saya suka menyorok kerana malu dilihat orang, tetapi dia pula suka menonjol dan tidak segan," katanya.Tambahnya, mereka pernah membawa Awatif menghadiri perjumpaan persatuan supaya anak itu memahami bahawa terdapat individu lain yang mempunyai keadaan fizikal sepertinya.Sementara itu, Mohd Razif berkata, kehidupan berumah tangga dengan pasangan yang sama-sama kerdil membuatkan mereka lebih saling memahami antara satu sama lain."Kalau berjalan sedikit pun kaki sudah sakit, pasangan pun faham sebab keadaan kami sama," katanya.Menurutnya, sebagai bapa, beliau menaruh harapan tinggi agar Awatif berjaya dalam pelajaran kerana percaya hanya pendidikan mampu mengubah masa depan seseorang.Katanya, setiap hari selepas tamat sesi persekolahan, beliau yang juga bertugas sebagai guru di sekolah sama akan memeriksa beg sekolah Awatif sama ada sudah dibawa turun dari kelas di tingkat empat."Ada kawan yang selalu bantu dia bawa turun beg, saya sangat hargai mereka dan ucap terima kasih," ujarnyaMenurutnya, menerima keadaan diri bukan sesuatu yang mudah ketika kecil, namun apabila meningkat dewasa beliau semakin memahami takdir yang ditentukan."Sekarang kami lihat rezeki ALLAH sangat luas. Kami mungkin berbeza dari segi fizikal, tetapi perkara lain semuanya sama seperti orang normal."Alhamdulillah kami berdua penjawat awam, ada rumah dan kenderaan sendiri. Itu pun sudah membuatkan kami bersyukur... dan mungkin ini doa ibu yang tidak henti-henti mendoakan kejayaan dunia dan akhirat," ujarnya.