Aidilfitri pilu buat Rozalina, suami terbaring kaku selepas dilanggar lari

SEREMBAN - Sambutan Aidilfitri kali ini tidak lagi sama buat Koperal Rozalina Jaafar, 40, apabila suaminya yang juga merupakan anggota polis hanya terbaring kaku di rumah selepas menjadi mangsa langgar lari tahun lalu.Insiden 2 Jun itu ternyata mengubah sepenuhnya kehidupannya yang kini terpaksa memikul tanggungjawab membesarkan dua anak berusia lima dan 12 tahun sendirian.Menurut Rozalina, perancangan untuk pulang beraya di kampung halamannya di Perak tahun ini terpaksa dilupakan kerana keadaan suaminya sekarang."Tahun lepas raya di kampung suami di Melaka dan sepatutnya tahun ini di kampung saya pula. Tapi disebabkan keadaan suami begini, kami memang tak dapat ke mana-mana."Jadinya adik-beradik saya sepakat berkumpul di rumah saya saja. Raya itu memanglah raya, tapi suasana itu tak sama lagi macam dulu," katanya ditemui di rumahnya di Sendayan di sini.Tambahnya, persiapan Aidilfitri juga dibuat secara ala kadar, namun baju raya untuk anak-anak tetap disediakan seperti biasa kerana tidak mahu mereka berasa sedih.Katanya, semua kelengkapan terpaksa dibeli secara dalam talian kerana tidak boleh tinggalkan suaminya seorang diri di rumah."Kalau masa suami sihat dulu, kami selalu bawa anak-anak jalan ke Kuala Lumpur beli baju raya. Tapi sekarang saya beli dalam talian saja kerana susah nak keluar lama-lama."Buat masa ini, emak dan ayah mentua yang bergilir-gilir membantu menjaga suami sementara saya pergi bekerja," katanya.Paling menyedihkan Rozalina apabila mengenang suami yang hanya sempat sekali merasai suasana beraya di rumah baharu yang didiami mereka sekarang.Jelasnya, suami membeli rumah tersebut kerana mahu tinggal dekat dengan ibu bapanya di Kuala Lumpur."Suami saya ini anak sulung, niat dia nak jaga mak ayah dia. Tapi sekarang ayah dia yang jaga dia," katanya.Rozalina bagaimanapun bersyukur kerana anak-anaknya memahami keadaan yang terpaksa mereka lalui, malah anak sulungnya banyak membantu menguruskan hal rumah.Dia juga reda dengan ketentuan takdir selepas dimaklumkan doktor bahawa peluang suaminya untuk pulih adalah tipis kecuali dengan keajaiban daripada ALLAH."Sejak kejadian itu sampai sekarang, suami masih tiada sebarang respon, melainkan matanya kerap berkelip seperti mahu mengatakan sesuatu."Sepanjang di hospital, lima kali suami terpaksa menjalani pembedahan di kepala bagi mengeluarkan cecair," katanya.Tambahnya, ketika ini suaminya hanya diberi minum susu khas tiga jam sekali dan kahaknya perlu disedut supaya pernafasannya tidak terganggu.Kini kata Rozalina, menjadi rutinnya untuk menguruskan suami sebelum pergi bekerja dan sesekali pulang ke rumah melihat keadaannya."Saya kena buat semuanya sendiri. Tapi saya reda kerana sebagai isteri semestinya ini jadi tanggungjawab saya."Cumanya, saya harap terus diberi kekuatan," katanya.Dalam pada itu beliau turut meluahkan kekecewaan apabila sehingga kini suspek yang melanggar lari suaminya masih belum tampil."Kalau ikutkan selepas suami kemalangan, dia sedar lagi. Tapi disebabkan pendarahan teruk di kepala, doktor beritahu terpaksa ditidurkan."Saya pun tak sempat nak jumpa suami ketika dia masih sedar. Biarlah ALLAH saja yang membalas perbuatan orang yang melanggar," katanya.Media Jun tahun lalu melaporkan, seorang anggota polis berpangkat koperal cedera parah selepas motosikal ditunggangnya dipercayai dilanggar lari dalam kejadian di Jalan Bukit Nenas, berhampiran Taman Rimbun Indah di Seremban.Kejadian jam 7.55 pagi itu berlaku ketika mangsa, Mohd Fairus Khamis, 42, yang bertugas di Balai Polis Rahang dalam perjalanan ke tempat kerja.