PELABUHAN KLANG - Alunan takbir raya dan panggilan video ahli keluarga menjadi pengubat rindu kepada petugas Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk yang berkhidmat menjaga keselamatan perairan negara pada hari raya Aidilfitri.Berkongsi kisah itu, Ketua Jurutera KM Bagan Datuk, Bintara Kanan Teknikal (M) Sarbini Karim, 53, berkata, beliau telah berkhidmat dalam pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira 21 tahun.Menurutnya, pengalaman menyambut raya tanpa keluarga di sisi memang sedih, namun sudah menjadi tanggungjawab warga Maritim Malaysia untuk melaksanakan rondaan di perairan negara."Pengubat rindu (pagi raya) ialah dengar takbir raya dan video call (panggilan video) anak serta ahli keluarga."Perasaan sedih itu biasa, lama-lama ia biasa dan keluarga pun faham dengan tugas ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa Op Khas Pagar Laut sempena musim perayaan di sini baru-baru ini.Pegawai berasal dari Sebuyau, Sarawak itu berkata, rakan setugas juga menjadi peneman bagai saudara sendiri.Kata bapa kepada empat anak itu, masakan juga akan disediakan dengan menu-menu hari raya."Selalunya cef kapal akan sediakan juadah seperti rendang, satay dan menu raya lain. Sedikit sebanyak ia pengubat rindu juga tidak beraya dengan keluarga," ujarnya.Sementara itu, bagi Leftenan Muda Maritim Abdul Hakim Abdul Aziz, 28, pula, beliau mula menyarung uniform Maritim Malaysia pada Oktober 2024 dan bertugas di KM Bagan Datuk merupakan pengalaman pertamanya.Menurut beliau, sudah pasti perasaan sedih apabila tidak beraya dengan keluarga, namun tugasannya di kapal merupakan satu tanggungjawab."Pengubat rindu ialah masakan isteri dan ibu."Bertugas dalam Maritim Malaysia perlu bersiap sedia dengan arahan dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga perairan negara," katanya yang meminati badan beruniform sejak kecil.Jelas Abdul Hakim, ayahnya banyak mendorong beliau dalam kerjaya dengan menegaskan disiplin tinggi.