KUCHING - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun menjadi korban terbaharu jangkitan rabies di Sarawak.Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak menerusi kenyataan memaklumkan bahawa mangsa warga tempatan dari Kuching mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada 11 Februari lepas dan dilaporkan hanya mencuci luka sendiri di rumah tanpa mendapatkan rawatan perubatan lanjut."Pada 11 Mac, mangsa mula menunjukkan gejala seperti kurang selera makan, muntah, kejang leher dan hidrofobia sebelum dibawa ke klinik pada 13 Mac dan seterusnya dirujuk ke Hospital Umum Sarawak serta dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pediatrik pada hari sama."Keputusan ujian makmal mengesahkan mangsa dijangkiti rabies pada 14 Mac sebelum meninggal dunia pada 18 Mac. Hasil siasatan mendapati faktor risiko utama bagi kes terbaharu ini adalah kelewatan mendapatkan rawatan selepas digigit haiwan," menurut JKN Sarawak.Sementara itu, JKN Sarawak memaklumkan bahawa sempena musim perayaan orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti ziarah atau berada di kawasan yang mempunyai haiwan peliharaan atau haiwan terbiar."Kanak-kanak khususnya perlu sentiasa dipantau dan dinasihatkan agar tidak mendekati, bermain, atau mengganggu anjing dan kucing liar bagi mengelakkan risiko gigitan atau cakaran."Sekiranya berlaku sebarang kejadian gigitan atau cakaran haiwan, tindakan mencuci luka dengan segera serta mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat hendaklah dilakukan tanpa berlengah," menurutnya. - Bernama