JOHOR BAHRU – "Kalau enggan beri kerjasama, kita akan sita."Itu reaksi Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan berhubung insiden seorang pemandu warga Singapura yang masih berdegil dan enggan mengaktifkan tag RFID Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) setelah disaman dalam satu operasi khas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bukit Chagar baru-baru ini.Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira dua minggu lalu ketika pemeriksaan dilakukan oleh anggota JPJ sempena operasi berkenaan.Bagaimanapun, katanya, selepas diberikan amaran, pemandu tersebut terus bertindak membayar saman yang dikenakan di kaunter bergerak yang disediakan di lokasi."Sepanjang hampir 1,500 saman yang kita keluarkan hanya seorang sahaja yang enggan memberikan kerjasama dan apabila kita beritahu dia bahawa jika enggan bekerjasama, kita akan sita, dia terus bayar saman."Hanya dia seorang sahaja, tetapi kebanyakannya agak profesional apabila mereka akur dengan memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP ini."Itu sebab kita letakkan kaunter bergerak di sini supaya mereka boleh bayar terus di tempat kejadian atau melalui aplikasi MyEG dan kita lihat ramai yang keluar dari Johor Bahru sudah pun mempunyai tag yang lengkap," katanya kepada pemberita.Beliau berkata berkata demikian pada sidang akhbar sempena Operasi Khas Penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di susur keluar Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bukit Chagar, Johor Bahru, pada tengah malam Ahad.Sempena operasi berkenaan, sebanyak 1,489 saman telah dikeluarkan JPJ terhadap kenderaan Singapura yang dikesan tidak memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP.Kesemua saman itu dikeluarkan bermula 1 Julai lalu sehingga Sabtu, semasa JPJ melaksanakan Operasi Penguatkuasaan VEP ke atas kenderaan dari republik itu di sempadan darat Malaysia–Singapura.Sebelum ini, pada 4 Jun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, kerajaan akan menguatkuasakan sepenuhnya VEP di sempadan darat Malaysia–Singapura mulai 1 Julai 2025.Kegagalan memasang dan mengaktifkan RFID VEP merupakan satu kesalahan bagi mana-mana individu yang memandu kenderaan asing tanpa permit sebelum memasuki atau ketika berada di Malaysia, selaras dengan Seksyen 66H(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman saman maksimum RM300.Dalam pada itu, Muhammad Kifli berkata, sepanjang tempoh operasi berkenaan, sejumlah RM445,800 saman berjaya dikutip, manakala sebanyak 14,379 kenderaan Singapura telah diperiksa di luar kedua-dua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), termasuk di sekitar daerah ini."Malam ini sahaja (Ahad), sebanyak 15 saman telah dikeluarkan terhadap kenderaan Singapura yang masuk ke Malaysia tanpa memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP."Setakat ini, daripada 1,489 pemilik atau pemandu kenderaan yang kita saman, rata-ratanya memberikan alasan hampir sama iaitu tidak tahu bahawa kerajaan Malaysia sudah menjalankan penguatkuasaan, sebaliknya menyangka kita masih berada dalam fasa advokasi."Bagaimanapun, kita sudah ambil tindakan tegas, tidak berkompromi dan tidak akan beri amaran lagi. Sebaliknya, kita akan terus mengeluarkan saman serta-merta, dan mereka yang disaman juga perlu menjelaskan saman mereka serta-merta," katanya.Sementara itu, Muhammad Kifli berkata, hampir 90 peratus kenderaan persendirian bernombor pendaftaran Singapura telah pun memiliki VEP yang telah dipasang dan diaktifkan.Malah katanya, sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 277,930 tag RFID VEP telah dikeluarkan JPJ kepada pemilik kenderaan dari republik berkenaan, termasuk kenderaan persendirian individu dan syarikat."Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan kenderaan Singapura yang keluar dari Johor Bahru sudah mempunyai tag RFID VEP yang lengkap, tetapi kita percaya dalam kawasan sekitar daerah ini masih ada lagi yang belum mendaftar VEP."Kita akan teruskan operasi penguatkuasaan ini dengan memeriksa kenderaan Singapura termasuk di lokasi tumpuan warga republik itu sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian."Oleh itu, kita ingin mengingatkan semua pemilik kenderaan asing ini untuk segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika memasuki dan keluar dari Malaysia," katanya.