Raja Muda Perlis berkenan sertai Kayuhan Sejuta Kasih PTPTN

ARAU - Program Kayuhan Sejuta Kasih Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjaya menarik perhatian lebih 100 peserta pada Sabtu.Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan mencemar duli menyertai kayuhan sejauh kira-kira 18 kilometer bersama Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.Hadir sama, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim dan Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr Ahmad Nizan Mat Noor.Sebelum itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berangkat menyempurnakan Perlawanan Persahabatan Woodball Piala PTPTN 2025 yang berlansung di UiTM Cawangan Perlis.Kemudian, acara kayuhan bermula dari Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UiTM Cawangan Perlis sebelum singgah ke beberapa lokasi di mana Tuanku Syed Faizuddin turut mengurniakan sumbangan kotak makanan kepada tiga keluarga asnaf selain sumbangan akaun Simpan SSPN Prime kepada tiga orang anak asnaf.Selain itu, dalam kayuhan sama, peserta turut singgah ke Maahad Tahfiz Al-Hikmah untuk menyampaikan sumbangan wang tunai dan akaun Simpan SSPN Prime kepada 60 orang pelajar.Dalam majlis penutup pula, seramai 35 pelajar kurang berkemampuan dari UiTM Cawangan Perlis, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) menerima sumbangan RM500 secara one off disalurkan ke akaun bank melalui Bantuan Lestari Siswa Madani dengan jumlah keseluruhan bernilai RM17,500.Salah seorang penerima, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan UiTM, Nurul Fatin Fatihah Zainol Mahamud, 23, bersyukur apabila sumbangan berkenaan dapat membantu meringankan beban dalam menyiapkan tugasan projek akhir."Ia juga membantu saya dari segi keperluan dan kos pembelajaran selain beri sokongan serta motivasi untuk kami lebih bersemangat dalam pelajaran," katanya.Sementara itu, Pelajar Diploma Teknologi Kreatif Digital Seni PTSS, Aidil Ummar, 19, berkata, sangat berbesar hati menerima sumbangan yang diberikan dan berjanji akan menggunakan sebaik mungkin bantuan berkenaan untuk pembelajaran.Selain itu, Pelajar Ijazah Sarjana Muda Penyelenggaraan Sistem Elektrik UniMAP, Muhamad Azehan Fazilah, 24, berkata, bantuan diperolehi sedikit sebanyak mengurangkan kos perbelanjaan di kampus."Rasa bersyukur terpilih, dengan sumbangan diberikan saya akan tingkatkan kualiti belajar dan membantu fokus dalam pelajaran, terima kasih atas inisiatif yang sangat bermakna ini," jelasnya.