SHAH ALAM – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa Kerajaan Persekutuan agar mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape di seluruh negara.Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, langkah tegas itu penting bagi melindungi kesihatan awam, khususnya generasi muda yang semakin terdedah kepada bahaya ketagihan bahan kimia dalam vape."KKM perlu mencontohi enam kerajaan negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang yang berani melaksanakan larangan awal termasuk tidak memperbaharui lesen penjualan rokok elektronik," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Menurutnya, penggunaan vape kini tidak lagi tertumpu kepada perokok tegar, tetapi turut mempengaruhi golongan yang tidak pernah merokok, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius di peringkat global."Laporan The Lancet Public Health (2024) menunjukkan lebih sejuta individu di England menggunakan vape walaupun tidak pernah merokok sebelum ini. Ini adalah trend yang sangat membimbangkan," katanya.Tambahnya, tabiat menghisap vape secara berterusan boleh menyebabkan masalah pernafasan, keradangan paru-paru, dan dalam kes lebih parah, kerosakan paru-paru akut atau EVALI yang berisiko maut.Jelasnya, sebanyak 41 kes EVALI telah direkodkan di Malaysia sejak 2019 hingga September 2024, manakala kos rawatan untuk penyakit ini boleh mencecah RM369 juta setahun menjelang 2030."Setiap pesakit EVALI memerlukan anggaran kos rawatan sebanyak RM150,892.11 bagi tempoh 12 hari rawatan di hospital. Ini membebankan sistem kesihatan awam negara," ujarnya.Ujarnya, anggapan vape lebih selamat berbanding rokok tembakau adalah tidak benar kerana kandungan nikotin yang tinggi boleh merosakkan paru-paru dan otak remaja.Katanya, gejala penagihan vape dikhuatiri akan menjadi serius seperti isu penyalahgunaan dadah yang telah menjadi musuh nombor satu negara sejak 1980-an dan masih gagal dibendung hingga kini.Ayub turut mengesyorkan agar kempen kesedaran awam dipergiat dengan memanfaatkan media sosial serta penglibatan pempengaruh belia dan pakar perubatan dalam menyampaikan fakta sebenar tentang bahaya vape.Dalam aspek penguatkuasaan, beliau mencadangkan agar Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) diperkemas, termasuk pemantauan berterusan penjualan dalam talian."Pada masa sama, pihak berkuasa seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa bekerjasama menangani penyeludupan rokok elektronik, katanya.Tegasnya, usaha ini memerlukan penglibatan menyeluruh semua pihak termasuk belia, keluarga, sektor swasta, pihak berkuasa tempatan dan media demi kesejahteraan generasi akan datang.